
BERLIN: FIFA sekali lagi menegaskan bahawa gol penyamaan England dalam aksi suku akhir Piala Dunia menentang Norway adalah sah, sambil menafikan dakwaan yang bola terkena kabel kamera sebelum jaringan itu dihasilkan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Badan induk bola sepak dunia itu memberitahu sportschau.de bahawa rakaman kabel kamera (spidercam) “jelas menunjukkan kamera itu tidak bergoyang atau bergerak.”
FIFA turut menolak dakwaan bahawa cip yang terdapat di dalam bola mungkin terputus isyarat ketika bola berada di udara, sebaliknya menegaskan bahawa penghantaran isyarat berlaku secara berterusan.
Norway dan ketua jurulatihnya Stale Solbakken sebelum ini mendakwa bola terkena kabel yang menyokong spidercam di atas padang berdasarkan laluan ia jatuh selepas sepakan gol dilakukan penjaga gol Orjan Nyland.
Bola kemudian jatuh kepada Anthony Gordon sebelum Jude Bellingham menjaringkan gol, sekali gus membantu England bangkit mencatat kemenangan 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Miami pada Sabtu.
Sekiranya bola itu benar-benar menyentuh kabel berkenaan, jaringan tidak akan dikira.
“Bola itu jatuh terus dari atas, jadi ia berubah arah,” kata Solbakken.
Dalam kenyataan awal selepas perlawanan, FIFA berkata: “Sensor dalam Connected Ball tidak menunjukkan sebarang lonjakan pada isyarat sensor bola ketika bola berada di udara, justeru tiada bukti yang bola menyentuh kabel di atas padang sehingga mengubah pergerakannya.” – Bernama




