
LONDON: Kelab Inggeris menerajui perbelanjaan global bagi perpindahan antarabangsa semasa jendela musim sejuk 2026, lapor PA Media/dpa dengan memetik laporan terbaharu FIFA.
Kelab di England membelanjakan AS$363 juta untuk menandatangani bakat dari luar negara, daripada jumlah keseluruhan bola sepak lelaki global sebanyak AS$1.95 bilion, menurut Tinjauan Perpindahan Januari FIFA.
Jumlah itu merupakan rekod kedua tertinggi bagi jendela musim sejuk yang pernah dicatatkan, di belakang Januari 2025 (AS$2.37 bilion).
Perpindahan Conor Gallagher ke Tottenham dari Atletico Madrid dengan nilai AS$47.1 juta merupakan perbelanjaan terbesar pada Januari bagi pemain yang berpangkalan di luar England, manakala perpindahan Taty Castellanos ke West Ham dari Lazio dan penghijrahan Rayan ke Bournemouth dari Vasco da Gama turut tersenarai antara tawaran terbesar.
Kelab di Itali, Brazil, Jerman dan Perancis merupakan pembelanja terbesar seterusnya mengekori England, menurut laporan itu.
Januari 2026 terbukti menjadi rekod jendela musim sejuk bagi bola sepak wanita, dengan lebih AS$10.8 juta dibelanjakan oleh kelab-kelab di seluruh dunia, sekali gus memecahkan rekod 2025 sebanyak lebih 85 peratus.
Kelab Inggeris sekali lagi mendahului dengan perbelanjaan sebanyak AS$5.03 juta. Ini termasuk pembelian pemain antarabangsa Amerika Syarikat, Sam Coffey oleh Manchester City dari Portland Thorns. – Bernama-PA Media/dpa