FIFA didakwa edar surat sokongan bagi pemilihan semula Infantino

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN FIFA Gianni Infantino tiba untuk menghadiri perlawanan bola sepak persahabatan antara Iran dan Costa Rica di Antalya, selatan Turkiye, pada 31 Mac 2026. Presiden FIFA, Gianni Infantino, kehilangan "keyakinan" Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), badan induk bola sepak Eropah, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada 1 Ogos 2026, selepas cadangannya untuk membenarkan pelaburan swasta dalam Piala Dunia ditarik balik susulan bantahan meluas di peringkat global. Foto fail AFP

MOSCOW: FIFA didakwa mengedarkan surat prasedia yang memuji kepimpinan Gianni Infantino kepada persatuan bola sepak kebangsaan menjelang kempen pemilihan semula beliau sebagai presiden badan induk itu, menurut laporan Sky News pada Rabu, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Surat berkenaan, yang menonjolkan sumbangan Infantino dalam pembangunan infrastruktur sukan serta usaha mempromosikan bola sepak wanita sepanjang tempoh pentadbirannya, diedarkan sebelum Piala Dunia di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada berlangsung.

Nama serta tandatangan presiden persatuan bola sepak telah diisi terlebih dahulu dalam surat itu, namun bukan semua persatuan menerimanya.

Pada 17 Julai, akhbar The Guardian melaporkan bahawa lebih 200 anggota FIFA telah menyatakan sokongan terhadap pemilihan semula Infantino, manakala hanya segelintir yang masih belum menghantar surat sokongan.

Pada Julai, FIFA mengumumkan rancangan untuk mengumpul dana sebanyak US$4.2 bilion menerusi penjualan kira-kira 20 peratus pegangan dalam entiti baharu yang akan memegang hak media dan komersial organisasi itu, termasuk hak berkaitan Piala Dunia.

Menurut laporan media, pegangan itu mungkin diperoleh oleh dana yang diuruskan Joshua Kushner, adik kepada Jared Kushner, menantu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

UEFA kemudian mengumumkan bahawa semua persatuan anggotanya akan memboikot kejohanan FIFA sehingga cadangan itu ditarik balik sepenuhnya.

Laporan media turut mendakwa bahawa Infantino berdepan tekanan daripada persatuan bola sepak di seluruh dunia dan mungkin meletakkan jawatan.

The Times melaporkan pada Rabu bahawa Infantino menawarkan Maghribi hak menjadi tuan rumah perlawanan akhir Piala Dunia 2030 sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan. FIFA bagaimanapun menafikan laporan itu.- Bernama-Sputnik/RIA Novosti

RiTC 2026 berpindah ke Esplanade Kuching

KUCHING: Penganjur Rock in the City (RiTC) 2026 mengumumkan pertukaran lokasi penganjuran festival muzik itu ke Esplanade Kuching, bersebelahan Hotel Grand Margherita, bagi