Fiesta STEM Daro gilap bakat inovasi pelajar

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

DARO: Fiesta STEM Bridge Building menjadi platform mencungkil bakat, kreativiti dan inovasi pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, program itu menghimpunkan 51 pasukan mewakili sekolah-sekolah dari seluruh Sarawak untuk menyertai pertandingan membina jambatan berasaskan konsep STEM.

“Ini sekali gus mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik,” katanya ketika menghadiri Fiesta STEM Bridge Building di Dewan Masyarakat Daro, semalam.

Beliau berkata, para peserta mempamerkan bakat, kreativiti dan potensi yang besar untuk terus diketengahkan.

Ahmad Johnie menggesa pelajar dan masyarakat memanfaatkan program seumpama itu bagi menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang pendidikan dan keusahawanan.

Beliau turut diberi taklimat di beberapa gerai pameran inovasi selain berpeluang melihat sendiri hasil ciptaan dan projek yang dihasilkan para pelajar.

Turut mencuri tumpuan ialah pameran LEGO STEM Showcase oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong Daro yang mempamerkan kreativiti murid menghasilkan model dan reka bentuk menggunakan LEGO sebagai medium pembelajaran STEM.

Fiesta itu turut dimeriahkan dengan gerai pameran Peladang Daro, Politeknik Mukah dan Agrobank yang mempromosikan produk tempatan, peluang pendidikan serta perkhidmatan kepada masyarakat.

Oleh Akun Giman