Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Fibroid: Wanita perlu pemeriksaan berkala, elak tumor ‘jinak’ bertukar ganas
  • KESIHATAN

Fibroid: Wanita perlu pemeriksaan berkala, elak tumor ‘jinak’ bertukar ganas

Utusan Sarawak 1 day ago

KUALA LUMPUR: Sebagai jururawat yang sudah berbelas tahun bekerja di unit obstetrik dan ginekologi (ob-gyn) dan hampir saban hari telinga mendengar nasihat doktor kepada pesakit agar cakna perihal kesihatan reproduktif, seharusnya Nurunneesa (bukan nama sebenar) lebih maklum akan hal itu.

Justeru, apabila diri sendiri didiagnosis berisiko menghidap kanser leiomiosarkoma (LMS) yang memaksanya menjalani prosedur histerektomi laparoskopi atau membuang rahim atau laparoskopi, Nurunneesa, 44, hanya mampu reda dan mengakui kesilapan sendiri mengambil mudah masalah fibroid yang dihidapinya sebelum itu.

“Biasanya wanita tidak sedar mereka ada fibroid di rahim… hanya tahu bila buat pemeriksaan imbasan ultra bunyi. Ketumbuhan ini, jika dibiarkan, boleh jejaskan rutin kehidupan, lebih-lebih lagi kalau bergejala seperti sakit luar biasa di bahagian bawah abdomen.

“Selain itu, berlaku pendarahan yang banyak serta berpanjangan semasa haid, badan lemah sehingga mengalami anemia dan perlu transfusi darah,” jelasnya kepada Bernama.

Dia yang berpengalaman 18 tahun dalam ob-gyn, berkata dalam kebanyakan kes, fibroid lebih kepada ketumbuhan atau tumor “jinak” yang tidak berbahaya serta jarang menjadi “ganas”, namun risiko untuk ke arah itu tetap ada.

FIBROID BERTUKAR KANSER

Mengimbau kembali kesnya, wanita ini yang masih bujang, berkata dia antara wanita yang mengalami masalah fibroid namun saiz yang kecil membuatkan dia tidak begitu mengambil hirau.

“Hanya berukuran dua sentimeter (cm) yang tidak ganggu pekerjaan dan kesihatan, jadi saya pun biar (tidak pantau) kerana ingatkan jenis normal (tidak agresif). Akan tetapi, tanpa saya duga, fibroid itu membesar menjadi 13 cm dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Menurutnya, ketika itu perutnya membuncit serta mengalami sakit kuat di bahagian pelvis selain berat badan menyusut secara drastik.

“Pakar kemudian menasihati saya agar menjalani prosedur miomektomi terbuka untuk membuang fibroid yang sebesar kandungan berusia empat bulan itu,” kongsinya.

Bagaimanapun seminggu selepas pembedahan membuang fibroid, dia dinasihatkan agar menjalani histerektomi laparoskopi susulan keputusan biopsi pada sampel fibroid mengesan kehadiran sel LMS, iaitu sejenis kanser yang ganas.

Walaupun masih belum berumah tangga, Nurunneesa akur demi kesihatannya dan dia juga bersyukur kerana keputusan itu juga menghindarkan dia daripada penyakit kanser.

TUMOR BIASA, TETAPI PERLU PEMANTAUAN

Sementara itu, pakar perbidanan dan sakit puan Dr Nor Liana Nisa Othman berkata fibroid atau leiomioma ialah kategori ketumbuhan bukan kanser, terbentuk daripada tisu otot rahim yang membesar secara tidak normal dan menjadi ketulan pejal.

“Jarang ketumbuhan jenis ini berubah menjadi kanser. Kalau ada pun hanya satu peratus atau satu daripada 100 orang yang bermasalah fibroid, namun tidak dinafikan risiko LMS boleh berlaku.

“Kes-kes yang doktor syaki kanser (ialah) apabila asalnya fibroid itu kecil tetapi tiba-tiba berubah (membesar) sangat cepat dalam tempoh singkat,” katanya kepada Bernama.

Pakar yang bertugas di sebuah hospital swasta di Kedah itu turut menjelaskan kebanyakan fibroid tumbuh secara perlahan, justeru memerlukan pemantauan berkala melalui imbasan ultra bunyi dan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi memastikan tiada perubahan drastik atau unsur tidak normal pada rahim.

“Waktu paling berisiko ialah ketika wanita dalam fasa reproduktif, berumur 30 hingga 50 tahun, terutama jika belum pernah melahirkan anak, berat badan berlebihan dan ada sejarah keluarga menghidap fibroid,” katanya.

Memberi reaksi berhubung sesetengah wanita yang beranggapan tiada keperluan membuat pemeriksaan jika tiada gejala atau tidak sakit, beliau berkata memang ada individu tiada simptom atau hanya bergejala ringan, namun bagi mengelak daripada sebarang kemungkinan, mereka tetap disarankan menjalani pemeriksaan.

Dr Nor Liana Nisa menambah dalam kes tertentu, ketumbuhan itu boleh membesar hingga sebesar sebiji tembikai atau berukuran lebih 20 cm.

“Oleh sebab itu amat penting buat pemeriksaan berkala. Lebih awal doktor kesan sebarang unsur tidak normal maka lebih cepat pesakit diberi rawatan bersesuaian. Namun janganlah terlalu bimbang, tidak semua (fibroid) perlu dibedah.

“Cara rawatan setiap pesakit tidak sama kerana bergantung pada simptom, saiz dan lokasi fibroid, umur serta keinginan untuk hamil. Namun, penting untuk pemantauan saiz fibroid itu sendiri kerana lebih besar saiznya lebih rumit dan berisiko,” jelasnya.

JENIS, RISIKO DAN PUNCA FIBROID

Sementara itu. menjelaskan dengan lebih lanjut, pakar ob-gyn Dr Norhayati Kasim berkata terdapat beberapa jenis fibroid, iaitu servikal, intramural, submukosa dan subserosal, dengan setiap jenis didiagnosis mengikut lokasi ketumbuhan.

“Fibroid servikal tumbuh di bahagian servik wanita, fibroid intramural pula betul-betul di dinding rahim, manakala submukosa terletak di dalam uterus, sementara fibroid jenis subserosal tumbuh di bahagian dinding luar rahim.

“Sejauh mana risiko ketumbuhan itu bergantung pada saiz dan kedudukan di mana fibroid itu tumbuh. Semakin besar tumor itu lebih tinggi risiko pada kesihatan termasuk kanser walaupun sangat jarang terjadi.

“Fibroid yang besar boleh rosakkan uterus serta rendahkan peluang untuk hamil. Jika berjaya hamil pula risiko keguguran atau kelahiran pramatang sangat tinggi,” jelasnya.

Menjawab persoalan punca sebenar fibroid, Dr Norhayati berkata sehingga kini faktor penyebab fibroid masih belum dikenal pasti, namun lazimnya ada kaitan dengan keturunan.

“Jika ada ahli keluarga yang mempunyai fibroid, kemungkinan untuk individu itu mendapat fibroid juga lebih tinggi. Faktor lain termasuk tekanan (stres) dan gangguan hormon yang tidak stabil, iaitu apabila paras hormon estrogen dan progesteron seseorang wanita itu tinggi atau berlebihan,” katanya.

”Hormon estrogen ini ibarat baja kepada masalah fibroid. Oleh sebab itu saya tidak benarkan pesakit yang ada fibroid makan jamu atau sebarang makanan tinggi kandungan phytoestrogen seperti soya dan kolagen.

“Badan kita sudah ada (menghasilkan) estrogen, kemudian kita makan pula sumber yang tinggi hormon tersebut, maka bertambahlah ‘baja’ pada ketumbuhan itu,” katanya sambil menyarankan wanita yang perlu mengambil produk makanan tambahan agar mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu.

Dr Norhayati berkata wanita yang mengalami fibroid sehingga mengganggu kesihatan bagaimanapun tidak perlu risau kerana sekarang ada rawatan dengan teknologi terkini, iaitu microwave ablation dan High Intensity Focused Ultrasound (HIFU) yang tidak menyakitkan.

“Microwave ablation ialah rawatan tanpa pembedahan besar, menggunakan gelombang mikro (sejenis radiasi elektromagnetik) yang menghasilkan haba tinggi untuk musnahkan tisu fibroid.

“Gelombang haba itu dipancar tepat ke tisu fibroid menerusi satu antena yang dimasukkan melalui kulit atau rahim secara tebukan kecil (laparoskopi) berpandukan mesin imbasan ultra bunyi.

“Tisu fibroid kemudian dipanaskan mengikut saiz fibroid selama tiga hingga lima minit pada setiap kawasan tumpuan,” jelasnya yang bertugas di sebuah hospital swasta di Kedah.

Seterusnya kata Dr Norhayati, fibroid yang dibakar itu akan mengecut dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Selain komplikasi rendah, kaedah tersebut menyebabkan kesakitan yang sangat minimum, iaitu pada skala satu atau dua daripada 10. Malah, pesakit dibenarkan pulang keesokan harinya dan boleh kembali bekerja selepas tiga hari.

HIFU pula ialah rawatan bukan pembedahan menggunakan gelombang ultra bunyi berintensiti tinggi yang difokuskan di kawasan fibroid, jelas Dr Norhayati.

“Haba yang terhasil akan mematikan tisu fibroid dan ketumbuhan jadi mengecut. Kelebihan kaedah ini ialah rawatan dilakukan sebagai pesakit luar dan pesakit boleh pulang setelah prosedur selesai tanpa sebarang luka fizikal pada tubuh mereka,” katanya.

Jelas Dr Norhayati, hanya sedikit kelemahan kaedah HIFU, iaitu doktor tidak dapat mengambil sampel biopsi bagi memastikan ketumbuhan itu bukan sel kanser.

“Ini berbeza dengan kaedah microwave ablation, doktor boleh mengambil sampel tumor untuk diuji di makmal sebelum prosedur dijalankan bagi memastikan ketumbuhan yang akan dikecutkan itu bukanlah sel kanser.

“Sekiranya laporan biopsi menunjukkan terdapat sel kanser, pesakit akhirnya tetap perlu menjalani pembedahan secara terbuka untuk membuang fibroid uterus tersebut,” katanya sambil menambah buat masa ini, hanya sebuah hospital swasta di Melaka yang menawarkan rawatan serta mempunyai teknologi HIFU.

HIFU katanya ialah teknologi dari China, dan untuk mengendalikan mesin itu pakar juga perlu menjalani latihan di negara berkenaan.

“Oleh sebab itu prosedur HIFU ini melibatkan kos yang agak tinggi,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau pada masa sama menjelaskan kedua-kedua kaedah itu tidak sesuai untuk fibroid bersaiz terlalu besar atau terlalu banyak.

“Jika ini situasinya, penyelesaian hanya melalui pembedahan terbuka,” kata beliau.– Bernama

Continue Reading

Previous: Hospital Sentosa terima sumbangan RM946,000, termasuk van Toyota Hiace
Next: KKM laksana pakej HePiLI secara berperingkat di semua sekolah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.