
PETRA JAYA: Festival Muzik Borderland, festival muzik elektronik terbesar di Borneo, bakal kembali dengan edisi ketiganya pada 5 dan 6 September ini di Kampung Budaya Sarawak (SCV), dengan sasaran menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama festival Muzik Tarian Elektronik (EDM) terkemuka di Asia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Sebastian Ting berkata, penganjuran festival bertaraf antarabangsa ini akan memperkukuh agenda kerajaan negeri menjadikan Sarawak sebagai hab pelancongan budaya dan hiburan di rantau Asia.
“Festival muzik ini bukan sahaja medan hiburan tetapi juga platform untuk memperkenalkan kepelbagaian budaya Sarawak yang berbilang etnik kepada dunia,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Beliau turut menegaskan, kehadiran ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara pastinya akan memberi impak positif terhadap ekonomi setempat, termasuk sektor pelancongan, perhotelan serta perniagaan tempatan.
Sementara itu, penganjur menjelaskan Festival Muzik Borderland bukan sekadar festival muzik biasa, sebaliknya dijangka menjadi acara pelancongan tahunan penting untuk Sarawak.
Jika Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) mengangkat muzik dunia, Festival Muzik Borderland pula mewakili generasi baharu dengan irama Muzik Tarian Elektronik (EDM), sekali gus menampilkan Sarawak sebagai pusat budaya dan muzik berdaya tarikan global.
“Bagi memastikan kelancaran perjalanan, perkhidmatan pengangkutan ulang-alik rasmi festival disediakan dengan lokasi pengambilan di Hotel Sheraton dan Mydin Semariang dari 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam (perjalanan pergi) serta dari 8.00 malam hingga 3.00 pagi (perjalanan pulang),” katanya.
Tiket festival kini boleh didapati melalui platform Ticketmelon. Harga tiket awal kategori Tiket Masuk Awal Umum 2 ialah RM348, manakala Kemasukan Awal Tiket Awal 2 berharga RM298 bagi kemasukan sebelum 5.00 petang.


ANTARA DJ yang akan beraksi pada Festival Muzik Borderland.
Tiket VIP semakin laris dengan hanya 20 peratus baki jualan, manakala tiket VVIP sudah habis terjual.
Keunikan Festival Muzik Borderland terletak pada gabungan irama moden dengan identiti budaya tempatan.
Selain persembahan artis EDM antarabangsa, pengunjung turut berpeluang menikmati pengalaman budaya Sarawak melalui makanan tradisional, kraf tangan serta persembahan warisan pelbagai etnik negeri ini.
Festival Muzik Borderland 2025 dijangka menarik 20,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran dengan menampilkan lebih 20 artis antarabangsa serta 40 bakat tempatan, termasuk DJ ternama seperti Da Tweekaz, Darren Styles, Beauz, Wukong dan Whisnu Santika.
Antara yang boleh dinantikan termasuklah produksi pentas berskala besar yang menggabungkan cahaya, visual, laser dan piroteknik, selain segmen khas ‘barisan artis pilihan peminat’ membolehkan peminat menentukan artis kegemaran mereka.
Kehadiran Kenyalang Warriors pula menjadi simbol semangat dan kesatuan masyarakat Borneo. Sejak diperkenalkan pada 2023, Festival Muzik Borderland berkembang pesat menjadi festival EDM terbesar di Borneo yang menyatukan muzik, budaya dan komuniti di bawah satu bumbung.
Dengan barisan artis antarabangsa, produksi bertaraf dunia serta semangat Kenyalang Warriors, acara ini dijangka terus mendefinisikan suara generasi baharu dan mengukuhkan kedudukan Sarawak di peta destinasi festival muzik global.
Pertama kali diperkenalkan pada 2023 di Miri, festival ini merupakan acara antarabangsa pertama seumpamanya yang dianjurkan di Sarawak.
Oleh Norman B