
KUCHING: Festival Muzik Borderland 2025 yang berlangsung di Kampung Budaya semalam membuka tirainya dengan penuh gegaran, mempertemukan ribuan peminat muzik dari pelbagai latar di bawah satu bumbung irama.
Hari pertama festival ini menampilkan barisan artis yang memukau, antaranya Fizz, Kyan SM.A bergandingan dengan Zack, Du Paul, Jorl, Cyndi serta Belle Sisoski yang membuka pentas dengan persembahan penuh energi.
Aura festival semakin hangat apabila Y3LLO, Jovynn dan Zapravka menaikkan tempo malam, sebelum kemuncak yang ditunggu-tunggu berlangsung menerusi persembahan Whisnu Santika, Wukong dan Da Tweekaz.

Cahaya lampu neon yang berkelip bersama visual layar gergasi menambahkan lagi kehangatan malam, membuatkan ribuan penonton larut dalam hentakan rentak yang kian rancak.
Whisnu Santika memukau dengan EDM penuh karakter, Wukong menggegarkan pentas dengan gabungan elemen Asia yang unik, manakala Da Tweekaz menutup malam pertama dengan rentak hardstyle yang membuatkan penonton tidak berhenti melompat hingga ke saat terakhir.
Tidak semua pengunjung hanya tertumpu di pentas utama. Ada juga yang memilih untuk bersantai di pentas lain seperti Heineken House dan Kenyalak Hut, menikmati muzik dalam suasana lebih santai sambil bergaul bersama rakan-rakan.

Kehadiran ruang alternatif ini menambahkan lagi warna pada pengalaman festival, memberi pilihan kepada penonton untuk menikmati muzik mengikut citarasa masing-masing.
Sorakan gemuruh sejak awal petang semalam membuktikan keterujaan ramai untuk menyaksikan barisan artis yang dibawa khas ke Sarawak.
Bagi kebanyakan peminat, festival ini bukan sekadar ruang hiburan, tetapi juga pengalaman kolektif di mana muzik menjadi bahasa sejagat yang menyatukan mereka.

Dengan kejayaan hari pertama, debaran kini tertumpu kepada barisan persembahan hari kedua yang tidak kurang hebatnya.
Pentas Borderland bakal dihangatkan lagi oleh NRG by Rhythm Revolt, Rad Kid, Sadon bergandingan dengan Scidz, Pandamax, Boris Foong serta persembahan antarabangsa daripada Gammer, Wiwek, Beauz dan Darren Styles yang dijangka menjadi penutup penuh ledakan.

Festival Muzik Borderland 2025 sekali lagi membuktikan ia bukan sekadar sebuah festival muzik, tetapi juga medan pertemuan peminat dari serantau yang bersatu dalam alunan rentak tanpa batas.
Oleh Adele Rissa dan Amanda L