Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Festival Monodrama Borneo tonjol kekuatan lakonan solo, sasar jadi acara bertaraf antarabangsa
  • TEMPATAN

Festival Monodrama Borneo tonjol kekuatan lakonan solo, sasar jadi acara bertaraf antarabangsa

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENYELARAS dan Pensyarah Program Drama dan Teater Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Unimas, Azri Ali, ketika ditemui pemberita, semalam. Foto Adele Rissa

KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Festival Monodrama Borneo buat julung kali di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) disifatkan sebagai langkah penting untuk menyemarakkan kembali seni teater tanah air, khususnya dalam bidang seni lakon berasaskan persembahan solo.

Penyelaras dan Pensyarah Program Drama dan Teater Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Unimas, Azri Ali berkata festival yang dianjurkan Persatuan Apresiasi Seni Kreatif Teater (SIKREATE) dengan kerjasama Unimas itu bertujuan menarik minat baharu terhadap teater, selain memberi ruang latihan kepada pelajar dan penggiat tempatan.

“Monodrama ialah lakonan satu pelakon. Walaupun ada berpuluh babak, semuanya ditanggung oleh seorang aktor di atas pentas. Ia menguji ketahanan mental, kemampuan teknikal dan kejujuran seorang pelakon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pementasan ‘Ujian Pertama Si Rania’, persembahan pembuka tirai festival tersebut di Dewan Serbaguna Student Pavilion Unimas, semalam.

Menurutnya, festival itu juga menjadi usaha awal untuk membina audiens sebelum Sarawak melangkah ke fasa pembangunan ekosistem seni persembahan yang lebih besar, termasuk penubuhan Pusat Kesenian Persembahan Sarawak (SPAC).

Azri berkata festival itu dirancang berkembang secara berperingkat dan penganjur bercadang menjemput lebih ramai peserta termasuk dari luar negara pada edisi akan datang.

“Beberapa monodrama yang dipentaskan kali ini sudah pernah dipersembahkan di Indonesia. Jadi kami melihat potensi besar untuk menjemput penggiat dari negara jiran bagi berkongsi karya serta perspektif baharu,” jelasnya.

Ketika ini, festival diadakan di Student Pavilion kerana panggung utama FSGK sedang menjalani proses naik taraf dengan peruntukan hampir RM1.5 juta.

“Panggung itu sudah digunakan sejak penubuhan Unimas. Sudah tiba masa ia diperbaharui. Kita sedang membina panggung baharu yang menyerupai Lambang Sari Istana Budaya, lengkap mengikut spesifikasi teater sebenar.

PEMENTASAN Monodrama, ‘Ujian Pertama Si Rania’ yang dilakonkan oleh Nur Liayana Mat Dan, persembahan pembuka tirai festival tersebut di Dewan Serbaguna Student Pavilion Unimas semalam. Foto Adele Rissa 

“Apabila siap, ia akan menjadi ruang eksperimen terbaik untuk penggiat teater tempatan dan platform kolaborasi bersama agensi kerajaan,” katanya.

Mengulas pemilihan format monodrama sebagai fokus edisi sulung, Azri berkata pendekatan itu bukan sahaja mesra kos malah sesuai sebagai landasan asas sebelum bergerak ke festival berskala lebih besar.

“Monodrama memang kecil dari segi produksi, tetapi bukan kecil dari segi cabaran. Tidak semua pelakon mampu memikul naskhah secara solo. Itulah keindahannya,” ujarnya.

Sepanjang festival, penganjur turut menyediakan bengkel lakonan yang dikendalikan penggiat teater berpengalaman termasuk Dr. Norzizi Zulkifli. Namun penyertaan dihadkan kepada 15 peserta bagi memastikan keberkesanan latihan.

Festival yang berlangsung selama tiga hari itu turut menampilkan sebuah forum khas pada malam esok bertajuk ‘Hala Tuju Teater Sarawak’ yang akan menampilkan Anding sebagai moderator serta tokoh-tokoh industri seperti Malek Hassan dan Dr. Hasnalee.

“Forum ini dijangka mengambil masa lebih panjang kerana banyak perkara yang perlu dibincangkan khususnya persediaan menuju penubuhan Pusat Kesenian Persembahan Sarawak,” tambahnya.

Azri turut mendedahkan ada perbincangan awal untuk membawa festival kecil ke beberapa lokasi luar negara termasuk Universiti Brunei dan Kalimantan.

“Jika ada peluang, kami mahu membawa persembahan ke sana dan seterusnya menjemput mereka kembali ke Sarawak.

“Harapan kami agar festival ini suatu hari nanti mampu berkembang seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau bahkan menjadi festival monodrama bertaraf antarabangsa,” katanya.

Hari pertama festival menyaksikan sambutan yang amat menggalakkan, dengan bengkel menerima puluhan permintaan walaupun kapasiti terhad.

“Minat masyarakat terhadap teater masih ada. Ini memberi keyakinan bahawa festival sebegini mampu berkembang dan menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi kreatif negeri,” ujarnya.

Festival Monodrama Borneo berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan menampilkan pementasan, bengkel serta perbincangan bersama penggiat industri.

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Uggah sorot jasa Abang Johari sempena pelancaran biografi politik premier pertama Sarawak
Next: 11 sekolah pedalaman Sarawak nikmati bekalan air bersih hasil projek telaga tiub

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.