BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) Edisi ke-17 2024 mencipta sejarah dengan penyertaan pelayang dari 28 negara, menjadikannya salah satu acara paling berprestij di rantau ini.
Penganjuran festival ini bukan hanya untuk meraikan seni menerbangkan layang-layang, tetapi juga untuk memperkukuh hubungan antara komuniti tempatan dan pelayang antarabangsa.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan berkata, festival tersebut mempunyai tiga objektif utama, iaitu meningkatkan penyertaan masyarakat, merangsang ekonomi setempat, dan memperkenalkan budaya tempatan kepada pengunjung luar.
Katanya, penganjuran acara kali ini, yang turut dibawa ke Kampung Kuala Nyalau, memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk merasai pengalaman festival antarabangsa.
“Pertama, kami ingin memastikan festival layang-layang ini bersifat inklusif.
“Jadi, kami membawa semua peserta layang-layang ke Kampung Kuala Nyalau supaya penduduk kampung juga dapat merasai dan melihat keistimewaan pesta ini,” katanya ketika ditemui media semasa lawatan peserta BIKF 2024 ke Kampung Kuala Nyalau di sini, hari ini.
Di samping itu, katanya, festival tersebut juga memberikan peluang ekonomi kepada peniaga kecil melalui gerai jualan yang dibuka sepanjang acara berlangsung.
“Kedua, kami ingin memberi manfaat ekonomi kepada Nyalau di mana kami juga menyediakan gerai jualan.
“Saya rasa ini akan sangat membantu bagi komuniti tempatan,” jelasnya.
Festival itu, tambah beliau, juga berfungsi sebagai jambatan budaya, di mana pelayang dari pelbagai negara diperkenalkan kepada adat dan tradisi masyarakat tempatan.
“Ketiga, kami ingin memperkenalkan semua pelayang antarabangsa kepada budaya tempatan kami di Bintulu supaya mereka lebih mengenali adat dan cara hidup di sini,” katanya.
Acara yang bermula dari 25 hingga 29 September itu menarik minat ramai, dengan sambutan positif daripada masyarakat tempatan serta pengunjung dari luar Bintulu.