
MIRI: Festival Kraf Miri 2025, anjuran Majlis Kraf Sarawak (MKS), akan berlangsung dari 10 hingga 14 Disember ini di Pusat Kebudayaan Forum di sini, bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan serta keunikan industri kraf tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif MKS, Suriya Charles Buas berkata festival itu menampilkan sebanyak 90 gerai merangkumi pameran dan jualan kraf, makanan dan minuman, selain persembahan kebudayaan.
Beliau berkata turut diadakan ialah sesi perbincangan awam melibatkan penggiat industri kraf dari Miri dan kawasan sekitarnya bersama wakil kerajaan serta agensi berkaitan bagi membincangkan hala tuju dan keperluan industri berkenaan.
“Antara acara menarik yang akan diadakan ialah pertandingan nyanyian Suara Emas serta Borneo Blowpipe Challenge 2025,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Menurutnya, penganjuran kali ini berskala lebih besar berbanding sebelum ini yang diadakan di pusat beli-belah, dengan lokasi lebih sesuai serta kemudahan lebih lengkap untuk menampung jumlah peserta dan pengunjung yang lebih ramai.
“Kita juga menerima penyertaan dari Brunei, Labuan, Lawas, Sabah dan Sarawak. Dengan penglibatan lebih meluas, kita berharap festival ini dapat meningkatkan minat masyarakat terhadap kraf tempatan khususnya di Miri dan kawasan utara Sarawak,” katanya.
Festival ini turut mendapat kerjasama rakan strategik seperti Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM), Pejabat Residen, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), RTM serta kolaborasi bersama Kumpulan Menyumpit dan Kelab Wanita Wawasan Baram.
Oleh Liong Chai Ling