KUCHING: Festival Kraf Borneo (FKB) Sarawak 2024 yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia dijangka mampu mencapai sasaran jualan sehingga RM1.5 juta.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata peningkatan jumlah pelancong yang menghadiri Pesta Regata dan acara seperti Kuching Maraton turut menyumbang kepada pertumbuhan jualan tersebut.
Katanya, sasaran jualan itu adalah susulan daripada pencapaian cemerlang sebanyak RM2 juta pada 2022 dan RM1.3 juta pada 2023.
“Kraftangan Malaysia menyumbang sebanyak 112 penyertaan kali ini, dengan majoriti 75 usahawan dari Sarawak, 21 usahawan dari Sabah dan Semenanjung Malaysia.
“Ini adalah usaha untuk kita bersama-sama mengintegrasikan industri kraf kerana Malaysia mempunyai ramai pakar khususnya dalam kraf indigenis.
“Selain itu, usaha promosi berterusan terhadap kraf tempatan, termasuk produk masyarakat Penan telah membuka peluang pasaran baharu di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak FKB Sarawak 2024 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk Ainu Sham Ramli.
Dalam pada itu, FKB Sarawak 2024 diadakan sempena Regata Sarawak bermula pada 10 pagi hingga 10 malam di Tebingan Kuching dari 25 Oktober hingga 3 November depan.
Program ini juga mengadakan pelbagai aktiviti seperti jualan produk kraf, demonstrasi kraf, pameran, pengembangan ilmu, persembahan dan aktiviti pentas.
Untuk rekod, pelaksanaan FKB Sarawak 2024 telah bermula pada 2004 dengan nama Promosi Kraf Malaysia (2004-2014), Festival Kraf Sarawak (2015-2018), Festival Kraf Borneo atau Festival Kraf Tekstil Borneo (2019 hingga sekarang).
Oleh Mohd Neenatul Aizal