KUCHING: Penganjuran Festival Jazz Kuching yang bermula semalam memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan di Sarawak dengan kehadiran orang ramai dari pelbagai negara.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata program tersebut memberi ruang kepada pelbagai agensi untuk menghidupkan kembali ekonomi mereka selepas mendapat tamparan hebat akibat pandemik Covid-19.
“Sekarang kita boleh lihat sendiri bagaimana industri pelancongan di Sarawak mula meningkat selepas berhadapan dengan pandemik Covid-19 selama dua tahun.
“Ia (penganjuran program) bukan sahaja memberi kesan yang baik bukan sahaja untuk pengusaha hotel atau industri berkaitan tetapi ia juga memberi sumbangan positif kepada peniaga-peniaga kecil khasnya.
“Apabila ramai pengunjung hadir ke Sarawak, sudah tentu mereka akan berbelanja, jadi kesannya meliputi semua industri yang tidak hanya terhad kepada sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri Festival Jazz Kuching 2022 bersama isteri di Hotel Grand Margherita, di sini, semalam.
Menjelas lanjut mengenai festival tersebut, Fazzrudin berharap lebih ramai artis tempatan yang dapat menyerlahkan bakat mereka pada masa akan datang menerusi program sedemikian.
“Kita berharap lebih banyak program bertaraf antarabangsa dapat dianjurkan di Kuching khususnya dan Sarawak amnya.
“Saya sangat gembira melihat barisan artis tempatan ditempatkan bersama artis-artis antarabangsa dan kita harap lebih ramai artis tempatan dapat membuat persembahan pada masa akan datang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Fazzrudin juga berkesempatan untuk bersua muka dengan Konsulat Jeneral Republik Indonesia Di Kuching, Theodorus Satrio Nugroho yang turut hadir menyaksikan festival tersebut.
Festival Jazz Kuching 2022 membuka tirainya bermula 28 dan 29 Oktober yang menampilkan barisan artis terkemuka dari pelbagai negara.
Antara artis Jazz terkemuka termasuk Afgan dari Indonesia, Noryn Aziz (Malaysia), Phum Viphurit (Thailand), Freyja Garbett (Australia), The Arkroyal (Singapura), Ky Den (Malaysia), Ushera (Malaysia), Hendri Rotinsulu & Jazmint Band (Indonesia), Leon Sapphire (Malaysia), dan Ta’Dan (Malaysia).