KUCHING: Juadah makanan tradisional pelbagai etnik di Sarawak bakal diketengahkan pada Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2024 – Edisi Hari Malaysia yang berlangsung Sabtu dan Ahad ini.
Festival anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) itu akan berlangsung di Kampung Budaya Sarawak dengan pelbagai vendor makanan.
RECODA menerusi satu kenyataan berkata vendor di Rumah Panjang Iban akan menyajikan pelbagai jenis makanan istimewa dari pelbagai wilayah SCORE termasuk Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Geena’s Kitchen yang mewakili URDA akan menyajikan menu masakan etnik Iban seperti ayam pansuh, ikan jelawat pansuh, kuih penyaram dan kerabu midin.
Sementara itu, Restoran Bahek yang mewakili HDA akan menghidangkan pelbagai juadah Orang Ulu, termasuk pitoh (nasi melekit kukus dibalut dengan daun), dinuh (makanan berasaskan tepung beras dan tepung pulut yang dicelup dalam sirap gula apong), kuih ubi kayu, nuba laya dan daging ayam cincang daun kesum.
Mewakili pihak NRDA (wilayah Limbang dan Lawas), Dapur Bisaya akan menyajikan pelbagai hidangan Bisaya seperti samcam daging kerabau, sancam daun ubi, tahai salai, nobor lopot dan penganan punti, manakala Teratak Lasme akan mengetengahkan masakan Melayu seperti nasi goreng sambal tahai, mee goreng sambal tahai, nasi goreng belutak, mee goreng belutak, kebab belutak roll dan kelupis tradisi utara Sarawak.
Selain itu, Dapur Melanau dari Mukah akan menyajikan pilihan hidangan Melanau yang menyelerakan seperti tumpik lemantak, umai ikan jaq, umai udang, umai obor-obor, dan linut dan sambal belacan.
Min Katering juga akan menyerikan lagi festival dengan makanan tradisional Melanau seperti tumpik sagu, seit panggang, linut & sambal, pekasam ikan, dan umai ikan dan sagu.
Sementara itu, menurut Menurut Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni, festival ini bukan sahaja meraikan kekayaan gastronomi Sarawak, malah ia juga peluang untuk RECODA melonjakkan profil pembangunan sosio-ekonomi tempatan di wilayah SCORE.
”RECODA amat komited untuk mengubah kawasan luar bandar Sarawak menjadi kuasa ekonomi melalui pelbagai inisiatif pembangunan sosio-ekonomi berkaitan makanan.
”Usaha ini termasuk pembangunan program Bakul Makanan, yang menampilkan Pusat Pemprosesan & Pembungkusan Koleksi (CPPC) di Sungai Baji, Sarikei dan Spaoh, Betong,” ujarnya.