KUCHING: Penganjuran Festival Kamek Miak Sarawak mengenai ‘Amal dan Budaya Makanan’ 2022 di Dataran Perayaan Petra Jaya memberi peluang kepada belia untuk membabitkan diri dalam aktiviti keusahawanan.
Kelihatan ramai usahawan muda mengambil peluang untuk mengadakan jualan dengan membuka gerai selain sebagai peniaga atau pekerja.
Menurut Pengasas Fragrance Album, Mohd Nor Fithri Japar,26, penganjuran festival seperti itu mampu menjadi platform untuk belia khususnya anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan.
“Penganjuran festival seperti ini memberi peluang kepada belia memasarkan produk masing-masing kepada masyarakat.
“Saya juga berasa amat beruntung kerana berpeluang untuk memasarkan produk saya di sini kerana penganjuran festival ini mendapat sambutan hangat dan ini merupakan platform yang sempurna untuk pemasaran produk.
“Seperti saya, saya merupakan usahawan wangian yang baharu di dalam bidang ini dan produk saya iaitu Fragrance Album adalah produk baharu. Oleh itu, festival seperti ini mampu menjadi batu loncatan kepada produk baharu seperti ini,”katanya.
Salah seorang peniaga, Mohammad Hazeeq Ellis, 25, berkata penganjuran festival ini juga mampu membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan sambilan kepada anak muda.
“Lebih 100 gerai yang dibuka disini, sudah tentu memerlukan tenaga kerja yang banyak dan sudah tentu ramai belia diambil bekerja untuk menjalankan perniagaan,”katanya.
Rosalinda Eilyana Eilias, 24 pula berkata penganjuran festival ini membantunya mendapatkan sedikit duit belanja sebagai seorang pelajar.
“Saya merupakan seorang pelajar, dan festival seperti ini membantu saya mendapat duit belanja bagi meneruskan kelangsungan hidup sebagai seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT),” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan NEENATUL AIZAL