
KUCHING: Penganjuran Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak 2025 yang berlangsung dengan jayanya mencerminkan iltizam tinggi dalam usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan di negeri ini.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari menzahirkan rasa syukur atas kelancaran festival berkenaan, yang disifatkannya sebagai platform penting untuk menyemarakkan semula semangat cintakan bahasa Melayu.
Menurut beliau, kehadiran Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, menjadi bukti jelas kesungguhan dan komitmen kepimpinan negeri dalam menjulang martabat bahasa kebangsaan.
“Kesudian beliau hadir menunjukkan iltizam tinggi dalam mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, khususnya di negeri yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan budaya ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Festival Bahasa dan Sastera di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak hari ini.
Tambah beliau, DBP sebagai institusi perancangan bahasa tidak dapat bergerak secara bersendirian dalam usaha memperkasa bahasa dan sastera kebangsaan.
“Kami memerlukan sokongan padu daripada semua pihak, termasuk hadirin dan masyarakat umum. Sambutan luar biasa terhadap program-program seperti ini amat penting kerana DBP sahaja tidak mungkin mampu merealisasikan usaha ini secara solo,” ujarnya.
Dr. Hazami turut menggesa generasi muda agar menanam rasa bangga dan megah terhadap bahasa kebangsaan, sambil menekankan bahawa pelbagai program sepanjang festival membuktikan bahasa Melayu mampu berperanan besar di semua peringkat umur dan pendidikan.
“Penyertaan pelajar daripada pelbagai latar belakang di Sarawak bertujuan memastikan Bahasa kebangsaan dan sastera terus relevan dan sebati dalam kehidupan rakyat.
“Dalam masa yang sama, ia dapat membina bakat serta mencungkil potensi pelajar,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, termasuk sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO), atas sokongan menjayakan Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak 2025.
“Komitmen dan kerjasama ini jelas membuktikan bahawa usaha memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan merupakan tanggungjawab bersama,” katanya mengakhiri ucapan.
Oleh Adele Rissa