
MANCHESTER: Bruno Fernandes menyamai rekod Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 20 bantuan gol dalam semusim ketika Manchester United mengesahkan kedudukan di tangga ketiga hasil kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest.
Fernandes, yang baru dinobatkan sebagai pemain terbaik musim ini oleh penulis bola sepak England, menyamai pencapaian legenda Arsenal, Thierry Henry dan bintang Kevin De Bruyne selepas hantaran silangnya disudahkan Bryan Mbeumo untuk gol ketiga United.
Mbeumo turut mencetuskan kontroversi terbesar perlawanan apabila bola terkena tangannya dalam gerakan yang membawa kepada jaringan Matheus Cunha, namun gol itu tetap disahkan selepas semakan VAR.
“Saya lebih mahukan trofi berpasukan daripada apa sahaja,” kata Fernandes.
“Tetapi apabila usaha anda dihargai ramai pihak, termasuk pemain lain yang mengatakan saya pemain terbaik musim ini, saya sangat bersyukur.
“Hari ini saya mencapai 20 bantuan gol. Kami masih ada satu lagi perlawanan. Pengurus akan tentukan siapa yang bermain selepas ini. Jika saya diturunkan, saya gembira. Jika tidak pun, saya tetap puas kerana ini jumlah bantuan gol tertinggi saya dalam EPL.”
Kemenangan itu meneruskan prestasi cemerlang United sejak Michael Carrick mengambil alih pasukan pada Januari lalu.
Bekas pemain tengah United itu dijangka menandatangani kontrak dua tahun untuk terus membimbing kelab di Old Trafford dalam masa terdekat.
“Kami melalui banyak detik besar, gol penting dan kemenangan hebat di stadium ini sejak beberapa bulan lalu,” kata Carrick kepada penyokong United selepas perlawanan.
“Harapnya akan ada lebih banyak lagi selepas ini.”
United membuka jaringan seawal minit kelima menerusi voli Luke Shaw sebelum Forest bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua hasil tandukan Morato.
United kembali di depan apabila Cunha menyempurnakan peluang selepas bola terkena paha dan tangan Mbeumo dalam situasi yang mencetuskan perdebatan VAR.
Detik penyamaan rekod Fernandes hadir 14 minit sebelum tamat apabila Mbeumo menolak masuk hantaran lintang deras kapten Portugal itu untuk gol pertamanya sejak Februari.
Forest terus memberi tentangan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Morgan Gibbs-White hasil gerakan Elliot Anderson, namun United bertahan untuk memastikan tiga mata.
Pemain tengah Brazil, Casemiro turut menerima tepukan gemuruh penyokong dalam penampilan terakhirnya di Old Trafford sebelum digantikan Mason Mount.
Fernandes hampir mencipta rekod baharu bantuan gol EPL pada masa kecederaan, namun percubaan Diogo Dalot hasil hantaran beliau hanya terkena tiang gol. — AFP