
APABILA Utusan Sarawak memaparkan berita mengenai Jambatan Batang Rajang (Jambatan Pasi) dan jalan raya dari Jalan Pasi, Sarikei ke Tanjung Manis dibuka untuk digunakan oleh orang ramai selama dua minggu bermula 28 Mac (Jumaat) 2025 sempena Hari Raya, ramai teruja.
Lebih 500,000 warga net mengikuti berita ini melalui Facebook Utusan Sarawak, satu lagi rekod berita popular yang mendapat perhatian luar biasa.
Inilah bentuk berita masyarakat yang kami mahu paparkan dari semasa ke semasa, bukan berita ‘pergaduhan politik’ yang kerap berlaku di Semenanjung atau berita yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum atau isu agama yang ekstrem, yang boleh menggugat keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk di Bumi Kenyalang.
Sebaliknya kita tumpu pemberitaan yang berkait langsung dengan rakyat, keperluan rakyat dan untuk rakyat.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh tempoh jambatan itu dibuka adalah sepanjang musim Hari Raya.
“Bermakna, 28 Mac ini, insya-Allah dalam tempoh dua minggu ia dibuka.
Jika Hari Raya pada 1 April… mungkin 14 April atau 15 April ia ditutup semula untuk penambahbaikan dan naik taraf bahagian jalan tertentu,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Hakikatnya, pembinaan jambatan itu memang sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat terutama di kawasan pesisir seperti Lembah Rajang, Tanjung Manis, Pulau Bruit, Matu dan Daro.
Ini kerana mereka dari Sarikei dan Bintangor, tidak perlu lagi untuk ke Sibu jika mahu pergi ke kawasan pesisir itu.
Malah penduduk dari kawasan pesisir itu yang tinggal di Kuching, Sri Aman, Betong, Saratok atau Roban dan mahu balik ke kampung menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo, juga tidak perlu lagi melalui Sibu.

45 Minit
Sebaliknya, mereka boleh meneruskan perjalanan dari Sarikei terus ke Tanjung Manis yang dijangka memakan masa hanya kira-kira 45 minit, berbanding lebih dua jam perjalanan jika terpaksa melalui Sibu seperti sekarang termasuk untuk ke Pulau Bruit, Daro dan Matu.
Inilah berita kedua ‘terpaling’ dinantikan oleh rakyat di wilayah tengah Sarawak setelah berita pertama siapnya Jambatan Muara Lassa di Daro dan mula digunakan sejak Januari lalu.
Namun, berita ketiga yang masih ditunggu-tunggu oleh rakyat ialah jambatan Batang Paloh yang hanya akan siap tahun depan.
Keadaan ini akan pasti sesak menjelang Hari Raya nanti, apabila lancarnya perjalanan dari Sarikei tetapi ‘tersekat’ menunggu giliran feri di Batang Paloh untuk meneruskan perjalanan ke Semop, Pulau Bruit, Daro dan Matu.
“Feri memang ditambah di situ, guna tiga feri.
Ia tidak boleh lebih, demi keselamatan orang ramai,” kata seorang Ahli Dewan Undangan Negeri.
Untuk seluruh negeri ini, penggunaan feri masih lagi digunakan, sekurang-kurangnya sehingga 2027.
Ini kerana sembilan lagi projek pembinaan jambatan yang giat dilaksanakan di Sarawak dijangka siap dalam tahun ini, seperti dinyatakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata ia sebahagian daripada 16 projek pembinaan jambatan yang melibatkan kos RM5.9 bilion, dengan dua projek telah berjaya disiapkan iaitu Jambatan Marudi menjelang Krismas Disember lalu dan Jambatan Muara Lassa, yang pembukaannya dirasmikan oleh Premier Sarawak 22 Februari lepas.
“Tiga daripada yang sedang dalam pelaksanaan itu dijadualkan siap pada Mac iaitu Jambatan Batang Rajang, Jambatan Bintulu-Jepak (Jambatan Ikonik Kabel) dan Jambatan Sungai Lingga.
“Selain itu, jambatan lain yang dijangka siap tahun ini termasuk Jambatan Sejingkat, Jambatan Batang Lupar 1, Jambatan Saribas 1, Jambatan Kemena-Sebauh, Jambatan Sungai Limbang, dan Jambatan Sungai Kemena di Sebauh, Bintulu,” katanya pada upacara perasmian Jambatan Batang Lassa, Daro yang disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Daro bulan lalu.
Jambatan Terakhir
Baki lima lagi jambatan dijangka siap pada 2026 iaitu Jambatan Batang Lupar 2, Jambatan Saribas 2, Jambatan Krian, Jambatan Paloh, dan Jambatan Igan.
Bagi projek pembinaan Jambatan Rambungan di Lundu/Kuching pula dijangka siap pada 2027.
Ini bermakna, tiada lagi feri digunakan selepas 2027 dengan yang terakhir siap untuk jambatan utama di negeri ini, iaitu Jambatan Rambungan nanti.
Projek jambatan Batang Rambungan amat mengecewakan bagi penduduk di Lundu.
Projek jambatan sepanjang 560 meter bernilai RM82 juta itu sepatutnya siap Disember 2022, kini kontraktor baharu atau kontraktor penyelamat dilantik bermula baru-baru ini untuk menyiapkannya dalam tempoh baharu – 24 bulan akan datang.
Apabila siap oleh kontraktor baharu dalam tempoh dua tahun ini, ia akan mengakhiri penggunaan feri yang menghubungkan Kuching-Lundu-Sematan, sekali gus memendekkan perjalanan di lokasi ini dari Kuching-Matang ke Sempadi.
Masyarakat Lundu sudah lama mengimpikan untuk ulang-alik ke Kuching dalam tempoh singkat melalui jambatan itu, tetapi terpaksa bersabar menggunakan feri untuk dua tahun lagi.
Boleh elak guna feri tetapi perjalanannya agak jauh melalui Batu 7 dan Bau atau melalui jalan/jambatan Batu Kawa, dari Kuching.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata pada 2027 projek pembinaan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer (km) yang menelan belanja RM5.42 bilion juga akan disiapkan.
Jalan pesisir yang menghubungkan Lundu-Sempadi ke Miri serta melalui kawasan Matu/Daro telah mencapai tahap siap 80 peratus, katanya.
Selain itu, Jalan Utama Kedua sepanjang 225 km yang menghubungkan Kuching dan Sibu kini mencapai tahap siap 30 peratus dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 2028.
Ini juga sekali gus memendekkan perjalanan dari Kuching ke Sibu.
Semua ini berita gembira apabila rakyat luar bandar dan pesisir, sudah membuat perkiraan sendiri, bilakah balik raya tiada lagi menggunakan feri.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.