Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Feri penumpang kemudi sendiri pertama dunia mula beroperasi di barat Jepun
  • GLOBAL

Feri penumpang kemudi sendiri pertama dunia mula beroperasi di barat Jepun

Utusan Sarawak 6 hours ago
FOTO menunjukkan feri penumpang Olympia Dream Seto di pelabuhan Shin-Okayama, barat Jepun, pada 10 Disember 2025. – Foto Agensi

OKAYAMA (Jepun): Sebuah feri penumpang yang beroperasi antara Okayama dan Pulau Shodoshima di barat Jepun akan mula menggunakan teknologi pertama dunia yang boleh mengemudi sendiri, lapor Kyodo News memetik Yayasan Nippon.

Menurut yayasan itu, feri Olympia Dream Seto, yang berulang-alik antara pelabuhan Shin-Okayama di Wilayah Okayama dan Pelabuhan Tonosho di pulau dalam Wilayah Kagawa, akan mula beroperasi secara separa kemudi sendiri pada Khamis selepas menerima pensijilan kerajaan untuk mengguna pakai teknologi berkenaan.

Pada sidang media yang diadakan di atas kapal ketika belayar, Pengarah Eksekutif Yayasan Nippon, Mitsuyuki Unno, yang menangani isu perkapalan dan sektor lain, berkata inisiatif itu boleh “menjadi satu daripada penyelesaian” kepada masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin meruncing di Jepun serta memastikan pengangkutan ke pulau-pulau berpenduduk yang terpencil.

Dalam demonstrasi, feri itu berlepas perlahan dari jeti dan bergerak melalui perairan tenang. Ia turut menunjukkan keupayaannya mengesan kapal di hadapan dan menukar laluan secara autonomi.

Kokusai Ryobi Ferry Co., pengendali Olympia Dream Seto berkata syarikat itu bercadang menggunakan sepenuhnya fungsi kemudi sendiri sebaik sahaja kru lebih mahir dengan sistem berkenaan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada projek lebih luas untuk mengkomersialkan kapal tanpa pemandu membabitkan Yayasan Nippon dan lebih 50 syarikat lain. Jika direalisasikan, ia dijangka membantu menstabilkan sektor logistik dan mengurangkan kemalangan maritim.

Tiga lagi kapal, termasuk sebuah kapal kontena, turut dijadualkan memulakan operasi komersial menggunakan fungsi berkenaan menjelang April 2026.- Bernama-Kyodo

Continue Reading

Previous: VW Jerman akan perkenal bas mini elektrik pandu sendiri di Oslo
Next: Saintis Jepun Sakaguchi, Kitagawa terima Anugerah Nobel di Stockholm

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.