
MUKAH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melaksanakan pelanjutan masa operasi perkhidmatan feri di Bahagian Mukah, khususnya di Pangkalan Feri Kuala Igan, sempena cuti akhir persekolahan Sesi 2025/2026 serta sambutan perayaan Hari Krismas 2025.
Menurut notis pemberitahuan JKR, pelanjutan tersebut akan berkuat kuasa bermula 19 hingga 24 Disember 2025 bagi melancarkan pergerakan penumpang dan kenderaan susulan peningkatan aliran trafik sepanjang tempoh perayaan.
Bagi tempoh berkenaan, Feri 1 akan beroperasi dari hari ini hingga 24 Disember 2025 dengan masa operasi dilanjutkan bermula 4.00 pagi hingga 1.00 pagi keesokan hari.
Sementara itu, Feri 2 akan beroperasi pada esok dan Ahad ini dari 6.00 pagi hingga 1.00 pagi, manakala Feri 3 akan beroperasi seperti biasa.
Sehubungan itu, JKR menasihatkan semua pengguna feri agar merancang perjalanan lebih awal, sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) feri, serta mengikuti arahan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Antara langkah keselamatan yang ditekankan termasuk keperluan pemandu mengikat tali pinggang keledar, mematikan enjin kenderaan semasa berada di atas feri, memakai jaket keselamatan serta larangan merokok dan membuang sampah di atas feri.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut berkaitan aliran trafik dan operasi feri, orang ramai boleh menghubungi Pejabat JKR Bahagian Mukah di talian 084-872 180 atau Feri Kuala Igan (Foremen, Mr Tiong) di 016-869 2989.