KUCHING: Ferderick Maldini dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sape Junior 2023 yang berlangsung di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching, semalam.
Beliau yang berasal dari Kuching berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM10,000 berserta piala.
Dalam pada itu, Aeron Junior Ibas dari Miri muncul sebagai naib juara dan membawa pulang RM7,000 berserta piala manakala tempat ketiga disandang oleh Ernest Vaneman Amut Leonard (Miri) yang turut menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 berserta piala.
Darren Mengga Larry Mengga (Kuching), Stanford Rayan Sidi (Sibu), Martinus Njok Sebi (Kuching) turut menerima hadiah sagu hati sebanyak RM3,000 berserta piala.
Martinus turut menerima anugerah persembahan terbaik pada pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah sebanyak RM2,000.
Pemilihan pemenang dinilai oleh para juri profesional terdiri daripada pemain Sape seperti Jerry Kamit dan Alena Murang yang melihat kepada kehebatan serta kemahiran para finalis bermain alat musik tersebut.
Pertandingan tersebut dimeriahkan lagi dengan persembahan penyanyi dari Sarawak, Bob Yusof dan “Ratu Pop Etnik” Malaysia, Noraniza Idris.
Untuk rekod, keenam-enam peserta ini berentap pada pentas akhir Pertandingan Sape’ Junior 2023 setelah berjaya melayakkan diri merebut tempat enam teratas daripada 12 peserta yang semuanya berusia bawah 25 tahun.
Dalam pada itu, Pertandingan Sape Junior 2023 ini turut mendapat sokongan daripada Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan dan kerjasama strategik Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK).
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh Mohd Neenatul Aizal