BINTULU: Fenomena pembentukan awan luar biasa dilihat di sekitar Bintulu pagi semalam menimbulkan rasa keterujaan dalam kalangan penduduk setempat.
Kejadian tersebut menjadi tular sebaik saja gambar dan rakaman video yang memaparkan bentuk unik awan itu dikongsikan penduduk menerusi Facebook.
Difahamkan, fenomena luar biasa itu bertahan selama beberapa jam sehingga sekitar 9.00 pagi.
Susulan penampakan awan tersebut di beberapa lokasi sekitar Bintulu, penduduk tempatan jelas tidak melepaskan peluang untuk merakam gambar keindahan itu sebagai tanda kenangan.
Namun begitu, terdapat juga segelintir penduduk menyuarakan bimbang mereka akan kemungkinan berlakunya ribut petir disebabkan pembentukan awan yang jarang berlaku.
Pada masa sama, pembentukan awan seumpama juga turut dikesan di Miri.
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang pada 5.45 hingga 9.00 pagi melibatkan kawasan Sarikei, Meradong, Sibu, Selangau, Mukah, Kapit, Bintulu dan Miri.
Oleh Carolyne Utih