
Imej Blood Moon dapat dilihat dari Jabatan Villa de Leyva Boyaca, Colombia ketika gerhana bulan. - Foto AFP
BRAZIL: Peminat astronomi di seluruh dunia terpesona menyaksikan fenomena ‘Blood Moon’ yang berwarna merah semasa gerhana bulan penuh yang jarang berlaku pada awal pagi semalam.
Fenomena angkasa ini dapat dilihat di benua Amerika serta di lautan Pasifik dan Atlantik, selain bahagian paling barat Eropah dan Afrika.
Gerhana bulan penuh berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada dalam satu garisan selari, menyebabkan bayang besar bumi menutupi satelit semula jadi itu.
Namun, ketika bayang bumi bergerak merentasi bulan, ia tidak sepenuhnya menghilangkan cahaya putihnya sebaliknya, bulan bertukar menjadi warna kemerahan.
Menurut ahli astronomi dari Universiti Nottingham Trent, Britain, Daniel Brown, fenomena itu berlaku kerana satu-satunya cahaya matahari yang sampai ke bulan sudah ‘dibiaskan’ ketika melalui bumi.
“Ia serupa dengan bagaimana cahaya boleh menjadi merah jambu atau merah semasa matahari terbit atau terbenam di bumi,” katanya.
Tambahnya, semakin banyak awan dan debu dalam atmosfera bumi, semakin merah warna bulan akan kelihatan.
Brown menyifatkan gerhana bulan berlangsung selama kira-kira enam jam itu adalah sebagai “cara luar biasa untuk melihat sistem suria beraksi.
Tempoh apabila bulan berada sepenuhnya dalam bayang bumi atau dikenali sebagai totaliti akan berlangsung lebih sejam.
Fenomena ini digelar ‘Blood Worm Moon’, merujuk kepada salah satu nama yang diberikan kepada bulan penuh pada bulan Mac oleh sesetengah masyarakat Orang Asli Amerika. – AFP