KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) melalui Simposium Felda 2024 yang diadakan hari ini mengetengahkan lima usul dan resolusi yang akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB24) bagi merevolusikan pembangunan ekonomi Bumiputera seluruh negara.
Felda dalam satu kenyataan berkata, usul tersebut dicerakinkan dan dibahaskan oleh hampir 200 orang pakar yang terdiri daripada ahli akademik, wakil komuniti serta pemain industri dalam dua sesi libat urus yang diadakan pada Januari lalu.
Usul berkenaan bertepatan dengan tema “Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Melalui Sumber Tanah” bagi Kumpulan 10 yang menunjangi aspek Felda dan Tanah Wilayah.
Tiga skop utama mewakili usul tersebut adalah Transformasi Pertanian Dalam Meningkatkan Keterjaminan Makanan Negara, Peralihan Adil Ekonomi Bumiputera dan Penggunaan Tanah Dalam Memacu Ekonomi Kitaran Berimpak Tinggi.
Menurut Felda, rangka kerja tersebut terdiri daripada Rangka Kerja Keterjaminan Makanan dan Ekonomi Kitaran, Rangka Kerja Tanah dan Ekonomi Kitaran, Rangka Kerja Peralihan Adil dan Ekonomi Kitaran, Rangka Kerja Reformasi Akta Tanah dan Ekonomi Kitaran, dan Rangka Kerja Mewujudkan Ekosistem Kredit Karbon.
“Felda optimis bahawa usul-usul berimpak tinggi yang dibentangkan dalam simposium ini akan dibawa juga ke dalam KEB24 pada penghujung Februari ini dan akan dijadikan dasar kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera secara keseluruhannya.
“Felda juga menzahirkan kesediaan untuk terus menjadi organisasi mandat Bumiputera yang akan terus memainkan peranan penting menjayakan segala dasar yang diputuskan KEB2024,” katanya. – Bernama