
PETRA JAYA: Sarawak berpotensi menjadi pintu masuk pembangunan sukan bertaraf antarabangsa di Malaysia menerusi kerjasama strategik yang sedang dirangka dengan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona, yang dijangka memberi fokus kepada pemindahan kepakaran, latihan serta pembangunan atlet jangka panjang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang berkata perbincangan antara kerajaan Sarawak dan kelab berkenaan kini telah melepasi skop bola sepak semata-mata, sebaliknya melibatkan ekosistem pembangunan sukan secara menyeluruh.
Menurut beliau, Barcelona bukan sekadar sebuah kelab bola sepak, sebaliknya sebahagian daripada wilayah Catalonia yang memiliki ekosistem sukan, budaya dan pelancongan yang kukuh serta tersusun.
“Kerjasama ini bukan hanya tentang perlawanan atau akademi bola sepak. Ia lebih kepada pembangunan bersama, termasuk program latihan, pertukaran jurulatih dan atlet, serta pendedahan kepada sistem pembangunan sukan yang matang,” katanya.
Abdul Karim berkata, elemen-elemen tersebut kini sedang dirangka untuk dimasukkan ke dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, dengan harapan ia dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, telah memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif berkenaan dan menyerahkan kepada kementerian untuk meneruskan rundingan lanjut.
Menurut Abdul Karim, satu perkembangan penting dalam perbincangan itu ialah pendirian FC Barcelona yang menyatakan hasrat untuk bekerjasama secara eksklusif dengan Sarawak di Malaysia.
“Daripada maklum balas yang kita terima, mereka hanya mahu bekerjasama dengan Sarawak. Setakat ini, Barcelona tidak membuat sebarang pendekatan kepada negeri lain di Malaysia, walaupun mereka sudah ada hubungan dengan Singapura dan Filipina,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini, bersempena kunjungan hormat Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.
Dalam pada itu, Abdul Karim tidak menolak kemungkinan penglibatan Petros sebagai rakan sokongan strategik bagi memperkukuh pelaksanaan kerjasama berkenaan, khususnya dari segi sumber dan kelestarian program.
Beliau menegaskan, kerjasama tersebut dijangka memberi manfaat besar bukan sahaja kepada bola sepak, malah kepada pembangunan keseluruhan ekosistem sukan di Sarawak.
“Kami berasa amat dihargai dengan sambutan yang diberikan oleh FC Barcelona, dan mereka juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kita dalam jangka panjang,” katanya.
Lawatan kerja Abdul Karim ke Sepanyol pada Oktober lalu, termasuk kunjungan ke FC Barcelona bagi meneliti ekosistem sukan, budaya dan pelancongan Catalonia, menjadi asas kepada perbincangan kerjasama berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat