KUALA LUMPUR: Minat yang dijangka berterusan dalam saham perladangan ketika kenaikan harga minyak sawit mentah dan penurunan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengimbangkan potensi turun naik berikutan pilihan raya AS, menstabilkan prestasi Bursa Malaysia minggu depan.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, permintaan sektor perladangan telah menarik minat pelabur tambahan dan menyokong daya tahan pasaran terhadap cabaran ekonomi global.
Beliau yakin bahawa penurunan yang berlaku baru-baru ini apabila FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut di bawah paras sokongan utama 1,600, menyediakan permulaan yang menarik bagi pelabur jangka masa pendek dan panjang.
“Dengan penilaian yang lebih murah dan isyarat lebihan jualan, terdapat potensi untuk pembelian dan pemulihan,” katanya sambil memaklumkan keadaan ini mungkin menyaksikan indeks petunjuk pasaran mencatat arah aliran dalam julat 1,600-1,630 minggu depan.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan menjangka Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) boleh bertindak tegas untuk kekal neutral selepas pilihan raya.
“Walaupun keputusan pilihan raya ini mungkin membentuk sentimen pasaran AS, kami menjangka kesan langsung minimum terhadap pasaran Malaysia kerana sebahagian besar pelabur tempatan mengambil pendirian berhati-hati.
“Sehubungan itu, pendekatan tunggu dan lihat mungkin menguasai dagangan, dengan pelabur di Malaysia memantau teliti reaksi Wall Street dan mempertimbangkan implikasi terhadap dasar ekonomi AS,” katanya.
Konsensus pasaran semasa menjangkakan penurunan kadar sebanyak 25 mata asas dan penurunan kadar dana persekutuan kepada 4.50-4.75 peratus.
Oleh itu, langkah ini mencerminkan inflasi yang lebih rendah ke arah sasaran 2.0 peratus Fed dan peningkatan kadar pengangguran AS, yang menunjukkan pasaran buruh lebih lemah.
Beliau berkata sektor utama yang sensitif kepada kadar faedah seperti hartanah, kewangan dan barangan pengguna, mungkin meraih minat baharu.
Kadar yang lebih rendah juga boleh meredakan tekanan kewangan ke atas syarikat Malaysia yang mempunyai hutang dalam denominasi dolar AS.
“Oktober adalah bulan yang mencabar bagi FBM KLCI, yang mengalami tekanan jualan, susut daripada 1,656 pada awal bulan dan mengakhiri Oktober pada 1,601, penurunan lebih 50 mata.
“Penurunan ini mungkin menarik minat belian saham semasa harga rendah, dan kami menjangka selepas pilihan raya, pelabur boleh mula meletakkan semula portfolio seawal seminggu selepas pilihan raya,” katanya.
Di peringkat domestik, pelabur akan memantau rapat petunjuk ekonomi akan datang bagi September, termasuk perdagangan borong dan runcit (7 November) serta data pengeluaran dan pembuatan industri (8 November), yang akan memberikan pandangan jelas mengenai prestasi ekonomi suku ketiga Malaysia.
“Dengan unjuran awal suku ketiga pada 5.3 peratus, angka ini penting untuk menilai momentum ekonomi,” katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 14.32 mata kepada 1,603.98 daripada 1,618.30 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas susut 92.28 mata kepada 12,128.34, Indeks FBM 70 rendah 35.74 mata kepada 17,678.93, Indeks FBMT 100 berkurangan 82.15 mata kepada 11,839.79, Indeks FBM Emas Syariah menyusut 97.54 mata kepada 12,102.44, dan Indeks ACE FBM rendah 104.66 mata kepada 4,996.35.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 257.27 mata kepada 19,004.76, Indeks Tenaga rendah 7.73 mata kepada 838.8, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.15 mata kepada 173.57 manakala Indeks Perladangan melonjak 156.79 mata kepada 7,456.37.
Jumlah dagangan susut kepada 9.60 bilion unit bernilai RM9.88 bilion berbanding 14.05 bilion unit bernilai RM11.74 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 5.30 bilion saham bernilai RM8.88 bilion daripada 7.69 bilion saham bernilai RM10.41 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.55 bilion unit bernilai RM396.20 juta daripada 4.36 bilion unit bernilai RM649.09 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.71 bilion saham bernilai RM598.99 juta daripada 1.98 bilion saham bernilai RM679.27 juta sebelumnya. – Bernama