
KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam julat 1,570 hingga 1,600 minggu depan berikutan kekurangan pemangkin baharu, kata penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, broker dalam talian itu menjangka pasaran akan mengekalkan pendekatan berhati-hati berikutan dana terus mengalir daripada pasaran sedang pesat membangun ke pasaran Hong Kong dan China.
“Oleh itu, kami percaya dana asing akan kembali ke rantau ini dalam masa terdekat, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh berbanding blok barat,” katanya kepada Bernama.
Thong mencadangkan pelabur memberi tumpuan kepada sektor permodalan besar seperti bank, perladangan dan telekomunikasi selain turut mempertimbangkan pelaburan domestik seperti pembinaan dan amanah pelaburan hartanah runcit untuk strategi pelaburan defensif.
“Jika indeks petunjuk pasaran meraih semula dan mengekalkan kedudukan melebihi 1,590 untuk tempoh yang panjang dengan jumlah dagangan yang kukuh, pergerakan ke arah paras halangan akan datang dijangka pada 1,620,” katanya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal dalam fasa konsolidasi selagi ia terus ditutup di bawah paras utama 1,590.
Katanya, pelabur akan menilai perkembangan pasaran, termasuk pengumuman pendapatan korporat tempatan minggu depan, ketegangan perdagangan dan geopolitik global, prospek dasar Rizab Persekutuan AS serta potensi dasar rangsangan dari China.
Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan kadar inflasi Malaysia kekal pada 1.7 peratus pada Januari 2025, dengan mata indeks berada pada 133.6 berbanding 131.4 pada bulan yang sama tahun lepas.
Pada minggu dagangan baharu berakhir, FBM KLCI kebanyakannya merosot, didorong oleh kebimbangan mengenai dasar tarif AS yang dijangka berkuat kuasa pada 2 April, meningkatkan kebimbangan mengenai impaknya terhadap ekonomi global, inflasi, rantaian bekalan dan pelan pelaburan.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, indeks utama merosot 0.57 mata kepada 1,591.03 daripada 1,591.60 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas berkurangan 114.94 mata kepada 11,991.67, Indeks FBMT 100 susut 88.72 mata kepada 11,725.23 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 130.60 mata kepada 11,716.91.
Indeks FBM ACE jatuh 213.80 mata kepada 4,920.98 dan Indeks FBM 70 merosot 466.37 mata kepada 17,404.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 24.60 mata kepada 19,318.04, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 3.40 mata kepada 7,458.32.
Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.06 mata kepada 165.05, Indeks Tenaga merosot 12.79 mata kepada 785.76, Indeks Penjagaan Kesihatan berkurangan 175.75 mata kepada 2,037.90 dan Indeks Teknologi susut 2.38 mata kepada 56.18.
Jumlah dagangan melonjak kepada 16.17 bilion unit bernilai RM12.32 bilion daripada 11.99 bilion unit bernilai RM9.14 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.89 bilion unit bernilai RM10.90 bilion daripada 5.95 bilion unit bernilai RM7.98 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran naik kepada 5.31 bilion unit bernilai RM525.79 juta daripada 3.95 bilion unit bernilai RM450.56 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 2.95 bilion unit bernilai RM964.11 juta daripada 2.08 bilion unit bernilai RM704.93 juta pada minggu sebelumnya. – Bernama