Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Eksklusif: Suasana sayu tiga beradik warga emas di rumah usang di Sarikei
  • Tengah
  • WILAYAH

Eksklusif: Suasana sayu tiga beradik warga emas di rumah usang di Sarikei

Utusan Sarawak 3 days ago
SAYANG….Momen indah semasa Dato Sri Fatimah Abdullah menyantuni Meriam Bojeng. 

SARIKEI: Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa lawatan bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, ke sebuah rumah pusaka di Jalan Haji Karim pada petang 30 Ogos lalu akan meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati ini.

Ia bukan sekadar kunjungan biasa sebaliknya, satu pengalaman yang benar-benar meruntun jiwa.

Di rumah usang itulah, tinggal tiga beradik warga emas yang sudah melewati usia senja bergantung harap antara satu sama lain, meniti hari dalam serba kekurangan.

PELUKAN erat seorang pemimpin.

Di hadapan mata saya, Meriam Bojeng, 92 tahun, duduk menyandar lesu di atas kerusi panjang yang sudah lusuh dimakan waktu. Tubuhnya tampak lemah, dimamah usia dan mungkin juga penyakit yang tidak terzahir dengan jelas.

Wajahnya memperlihatkan kepenatan yang mendalam. Tangan dan kakinya kelihatan bengkak saya sendiri tidak pasti, apakah itu hanya kesan usia yang lanjut atau petanda kepada sesuatu yang lebih serius, yang menuntut rawatan segera.

Setiap kali memandang keadaan ini, hati saya terasa sayu, seolah-olah ia membawa bersama nostalgia panjang tentang ketabahan dan perjalanan hidup.

DATO Sri Fatimah Abdullah memegang lembut tangan Meriam.

Ketika itu, Dato Sri Fatimah Abdullah duduk di sisi Meriam, mengusap lembut tangan Meriam, memeluk erat serta menundukkan wajahnya ke arah Meriam seolah-olah sedang memujuk seorang ibu yang sedang menderita sakit dan memerlukan kasih sayang. 

Momen itu amat menyentuh hati saya. Seorang menteri, dengan penuh keprihatinan, memeluk erat Meriam yang tubuhnya uzur tanpa protokol, tanpa jarak. Hanya kasih sayang yang tulus terpancar dari setiap sentuhan.

DATO Sri Fatimah Abdullah santuni gelandangan.

Dato Sri Fatimah turut meninjau keadaan dapur dan tandas rumah pusaka itu. Lebih menyedihkan, anak buah yang menjaga Meriam memaklumkan kepada beliau dan semua kami yang mengikuti lawatan, bahawa Meriam pernah tergelincir jatuh di dalam tandas. 

Membayangkan seorang wanita warga emas berusia lebih 90 tahun tergelincir jatuh di tandas benar-benar meluluhkan hati. 

Menyedari keadaan tangan dan kaki Meriam yang kembang, Fatimah segera meminta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membawa Meriam berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

Saat itu Meriam hanya mengangguk perlahan, sebelum menghadiahkan senyuman yang penuh makna. 

Meriam telah mendapat Bantuan Warga Emas (BWE) sejak 2013 sehingga kini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak. 

Manakala, bermula pada bulan ini, Dinah Bojeng, 83, dan Ahmad Bojeng, 73, turut akan mendapat BWE. 

Ketika menyaksikan keprihatinan Dato Sri Fatimah, ingatan saya terus kembali ke tarikh 5 September 2016 di Sibu. 

Waktu itu saya masih bertugas sebagai wartawan Utusan Sarawak berpeluang mengikuti beliau dalam operasi menyelamat gelandangan.

Saya masih ingat bagaimana beliau turun padang dari malam hingga awal pagi, menyapa seorang demi seorang gelandangan tanpa rasa jijik atau kekok, malah memastikan mereka mendapat perlindungan dan makanan.

Beliau turun padang setiap tahun untuk menyantuni dan membantu gelandangan yang memerlukan perhatian segera. 

Saat itu saya sedar dan hari semasa lawatan ke rumah Meriam Bojeng, saya yakin bahawa keprihatinan beliau bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi benar-benar lahir dari hati. Ia konsisten, dari dulu hingga kini.

Mengikuti lawatan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan tugas saya sebagai wartawan untuk menyampaikan berita kepada umum, tetapi pengalaman berharga yang menyedarkan saya bahawa kasih sayang dan perhatian mampu memberi makna besar kepada insan-insan yang memerlukannya. 

Di sebalik tubuh uzur Meriam Bojeng, ketabahan jelas terpancar pada wajah Dinah Bojeng, 83, dan adiknya Ahmad Bojeng, 73.

Namun yang paling menyentuh hati adalah saat Dato Sri Fatimah Abdullah memeluk Meriam erat, penuh kasih seperti seorang anak yang amat menyayangi ibunya.

Dalam detik itulah saya menyedari satu perkara yang besar maknanya: bagi warga emas, yang paling berharga bukan sekadar bantuan material, tetapi sentuhan yang tulus, pelukan yang ikhlas, belaian kasih sayang, serta keprihatinan yang diterjemah melalui tindakan susulan yang konsisten.

Itulah tanda sebenar seorang pemimpin yang benar-benar menyayangi rakyatnya.

Oleh Earl Anek

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Kuching residents deserve clean water, not excuses – Wong King Yii 
Next: 16 September lambang penyatuan sebenar rakyat Malaysia – Wong Soon Koh

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.