
SIBU: Usaha meningkatkan keselamatan dan keselesaan pesakit di Klinik Kesihatan (KK) Lanang terus diperkukuhkan dengan siapnya Bilik Rawatan Penyakit Berjangkit bernilai RM100,000 melalui peruntukan Projek Mesra Rakyat Parlimen Lanang.
Fasiliti itu menyediakan dua bilik rawatan khas dan ruang menunggu berasingan khusus untuk pesakit bergejala seperti demam, batuk serta jangkitan saluran pernafasan, bagi mengurangkan risiko jangkitan silang kepada pesakit lain yang hadir bagi pemeriksaan rutin.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau, berkata kemudahan tersebut menjadi keperluan penting dalam memastikan golongan rentan seperti warga emas, pesakit diabetes dan kanak-kanak berada dalam persekitaran rawatan yang lebih terjamin.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Lanang, fasiliti itu membolehkan pesakit bergejala menjalani saringan awal tanpa perlu memasuki bangunan utama klinik, sekali gus meminimumkan risiko penularan penyakit.

“Majoriti yang datang ke klinik adalah pesakit stabil untuk pemeriksaan susulan seperti paras gula dan rawatan berkala. Dengan adanya ruang khas ini, kes bergejala dapat diasingkan lebih awal sebelum rawatan lanjut diberikan,” katanya ketika merasmikan bangunan tersebut, hari ini.
Beliau menjelaskan permohonan untuk membina bangunan itu dikemukakan pada 2024 sebelum diluluskan pada Mei tahun sama, namun proses pembinaan memerlukan tempoh lebih panjang kerana melibatkan prosedur tender dan penyerahan projek.
Bangunan tersebut kini siap sepenuhnya selepas sambungan elektrik diselesaikan semalam, namun operasi dijangka bermula dalam tempoh sebulan selepas pemeriksaan teknikal dilakukan.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu, Dr Teh Jo Hun, berkata fasiliti berkenaan akan menjadi zon saringan utama bagi pesakit bergejala, terutama ketika berlakunya peningkatan kes influenza.
“Dengan keadaan semasa di mana influenza sedang menular, ruang ini sangat membantu mengelakkan jangkitan kepada pesakit lain, terutamanya mereka yang mempunyai imun rendah.
“Langkah pencegahan awal ini akan menyelamatkan banyak nyawa dan memastikan pesakit sihat kekal sihat,” ujarnya sambil merakam penghargaan kepada Lau atas usaha merealisasikan projek berkenaan.
Oleh Tarani Lanting