
PETRAJAYA: Kerajaan Sarawak akan meneruskan pelaksanaan fasa kedua Tebingan Sungai Kampung Tambirat di Asajaya dengan proses pemilihan kontraktor yang lebih teliti bagi memastikan kelewatan dan masalah yang menjejaskan fasa pertama tidak berulang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberikan lampu hijau untuk projek tersebut diteruskan demi kepentingan penduduk setempat.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedang meneliti kaedah terbaik bagi pelaksanaan projek berkenaan termasuk aspek perolehan dan pemilihan kontraktor.
“Premier telah memberikan kelulusan untuk projek ini dimulakan dan kita akan menelitinya. Namun, kita perlu lebih berhati-hati supaya apa yang berlaku dalam fasa pertama tidak berulang.
“Kadangkala dalam sistem tender terbuka, syarikat menawarkan harga yang terlalu rendah untuk mendapatkan projek, tetapi akhirnya memberi kesan kepada pelaksanaan kerja di tapak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sarawak Pertandingan Idea Perniagaan Belia Sarawak (saYBIC) 2025/2026 di Sarawak Sports Village (SSV), hari ini.
Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, kerajaan negeri mahu memastikan kontraktor yang dipilih mempunyai keupayaan kewangan, peralatan dan kepakaran teknikal yang mencukupi bagi melaksanakan projek pembangunan tebingan sungai berskala besar.
Mengulas perkembangan projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat fasa pertama yang terbengkalai selepas berlaku kegagalan struktur, beliau berkata perkara itu kini sedang melalui proses perundangan dan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah.
Katanya, projek tersebut pada asalnya dilaksanakan menerusi proses tender terbuka yang mematuhi prosedur ditetapkan, namun masalah yang timbul telah menyebabkan pelbagai implikasi termasuk kelewatan projek dan menjejaskan keseluruhan landskap tebingan sungai berkenaan.
“Kontrak projek itu dianugerahkan melalui tender terbuka dan dilaksanakan mengikut prosedur yang sewajarnya. Namun apabila masalah seperti ini berlaku, ia menyebabkan banyak perkara tertangguh dan memberi kesan kepada pembangunan keseluruhan kawasan tebingan sungai,” katanya.
Beliau turut meluahkan kekecewaan kerana projek yang telah dimulakan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu masih belum dapat disiapkan sepenuhnya akibat masalah yang tidak dijangka.
Menurutnya, pihak berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang mendapatkan pandangan perundangan berhubung perkara tersebut.
“Kes ini berkemungkinan akan melalui proses mahkamah. Oleh itu saya tidak boleh mengulas secara terperinci kerana ia mungkin menjejaskan pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, siasatan yang dijalankan mendapati terdapat kemungkinan berlaku kesilapan pengiraan atau kecuaian oleh pihak tertentu yang terlibat dalam pelaksanaan kerja struktur sehingga mengakibatkan kegagalan tersebut.
Beliau pada masa sama meminta penduduk Kampung Tambirat terus bersabar kerana beberapa aktiviti termasuk Regata Tambirat masih belum dapat dianjurkan semula selagi isu keselamatan dan pembangunan tebingan sungai itu belum diselesaikan sepenuhnya.
“Apabila tebingan sungai ini siap nanti, banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk manfaat masyarakat termasuk menghidupkan semula Regata Tambirat,” katanya.
Fasa pertama projek Tebingan Sungai Kampung Tambirat bernilai RM20 juta melibatkan pembinaan struktur penahan tebing dan pavilion awam, namun terjejas selepas sebahagian struktur mengalami keruntuhan sebelum projek siap sepenuhnya.
Sementara itu, fasa kedua yang melibatkan jajaran sepanjang 1.2 kilometer dari penghujung fasa pertama hingga ke hujung Kampung Tambirat akan dibangunkan dengan peruntukan RM150 juta yang diluluskan kerajaan Sarawak.
Oleh Shikin Mahmud