KUALA LUMPUR: Meskipun tidak dapat pulang beraya di kampung, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang akan diberikan mulai Jumaat ini sedikit sebanyak dapat menceriakan sambutan raya tahun ini.
Sebelum ini Fasa 1 BPR berjumlah RM1.93 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima dari 24 Februari sehingga 1 April 2021.
Kini, Fasa 2 BPR menyusul untuk memanfaatkan jumlah penerima yang sama,merangkumi 3.6 juta isi rumah, sejuta juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.8 juta individu bujang.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, mereka akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 7 Mei ini melibatkan peruntukan berjumlah RM2.75 bilion.
“Peningkatan peruntukan adalah berikutan penambahbaikan kadar bayaran kepada penerima.
“Jika dahulunya penerima dari kategori isi rumah menerima RM300 dan penerima bujang menerima RM150, kini pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600, berdasarkan kelayakan setiap penerima,” katanya dalam kenyataan semalam.
BPR adalah inisiatif bantuan langsung yang diumumkan kerajaan di dalam Belanjawan 2021, bagi memanfaatkan golongan B40.
Semakan status kelulusan BPR boleh dibuat mulai 7 Mei 2021 melalui pautan
Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan program BPR disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun 2021.
Katanya, dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi peluang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut beliau, dengan mengambil kira pembayaran Fasa 1 dan Fasa 2 BPR, jumlah bantuan kewangan yang telah disalurkan kepada hampir 8.4 juta penerima BPR adalah sebanyak RM4.68 bilion.
Mengimbas kembali, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM1.91 bilion kepada golongan B40 juga telahpun dibayar mulal 21 Januari 2021.
“Oleh itu, setakat Mei 2021, jumlah keseluruhan bantuan langsung kerajaan (merangkumi BPN2.0 dan BPR Fasa 1 dan 2) yang telah dan akan disalurkan adalah berjumlah RM6.59 bilion.
“Ini membuktikan kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya.- DagangNews.com