
KUCHING: Rangkaian pasar raya Farley terbuka untuk mempertimbangkan pembukaan cawangan baharu di lokasi yang mempunyai keperluan penduduk serta berpotensi memudahkan akses kepada penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Pengarah Farley, Eiseng Lau berkata, sebarang perancangan pembukaan cawangan baharu akan mengambil kira kepadatan penduduk, permintaan pengguna serta kesesuaian lokasi.
Menurut beliau, syarikat itu turut mengambil maklum saranan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg agar lebih banyak kemudahan membeli-belah disediakan di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang semakin meningkat.
“Kita sentiasa terbuka kepada pilihan yang ada. Jika terdapat lokasi yang sesuai dan mempunyai permintaan yang tinggi, kita akan mempertimbangkannya.
“Paling penting ialah jumlah penduduk dan keperluan masyarakat setempat. Jika lokasi itu sesuai, kita terbuka untuk melihat peluang yang ada,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Taman Farley di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan pembukaan cawangan baharu di kawasan utara bandar raya Kuching termasuk sekitar Petra Jaya dan kawasan di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Mengulas perkembangan syarikat, beliau berkata Farley kini mempunyai empat cawangan utama iaitu di Bintulu, dua di Sibu termasuk sebuah yang sedang dirancang, selain Kota Samarahan dan Kuching.
Dalam pada itu, Eiseng berkata syarikat berkenaan turut meneliti pelbagai cadangan bagi meningkatkan pengalaman pelanggan termasuk penambahan elemen hiburan dan kemudahan lain pada masa depan sekiranya terdapat permintaan yang mencukupi.
Menyentuh mengenai cabaran ekonomi semasa, beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan pembekal bagi mengurus perancangan stok lebih awal untuk membantu menstabilkan harga barangan pengguna.
“Apabila ada petunjuk kos akan meningkat, kita cuba merancang stok lebih awal bersama pembekal supaya impak kenaikan harga dapat dikurangkan dan pengguna masih boleh menikmati harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat