BAYANGKAN kita sedang duduk bersantai dengan keluarga di balai pelepasan lapangan terbang. Suasana sungguh ceria dan meriah. Masing-masing teruja dan sudah tidak sabar untuk melawat destinasi percutian yang direncana berbulan-bulan yang lalu.
Tiba-tiba, terdengar pengumuman berbunyi… “Perhatian kepada penumpang-penumpang penerbangan XX1234, penerbangan anda dijadualkan semula disebabkan masalah yang tidak dapat dielakkan.” Kejadian ini pastinya menimbulkan rasa tidak puas hati, resah dan kecewa.
Namun perkara yang lebih malang, jika penerbangan terus dibatalkan. Perasaan kegirangan pada awalnya pun berubah menjadi kegarangan. Begitulah suasana yang boleh kita alami atau perhatikan di balai berlepas lapangan terbang. Jadi apakah faktor-faktor penyebab kelewatan atau pembatalan satu-satu penerbangan itu?
Faktor kelewatan pesawat berlepas
Pada asasnya, syarikat penerbangan pasti ingin mengelak kelewatan penerbangan berlaku. Hal ini kerana setiap kelewatan akan menjejaskan potensi keuntungan yang boleh diraih dalam setiap laluan. Malah, masalah kelewatan juga akan menjejaskan imej syarikat dan kepercayaan pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan mereka pada masa akan datang.
Namun, realitinya kelewatan pelepasan penerbangan tidaklah dapat dielakkan 100 peratus kerana kadangkala ia melibatkan perkara yang tidak dapat dikawal. Secara umumnya, faktor-faktor utama dikenalpasti sebagai punca kelewatan ini, boleh dikategorikan kepada dua perkara iaitu isu keselamatan dan isu pengurusan.
Isu keselamatan
Keadaan cuaca buruk seperti ribut petir, salji tebal atau kabus adalah antara faktor yang boleh menjejaskan tahap keselamatan penerbangan. Selain itu, sekalipun cuaca di lapangan terbang untuk berlepas adalah dalam keadaan baik, tetapi jika diperhatikan melalui radar, pesawat akan melalui ruang udara yang menjadi laluan debu-debu gunung berapi, maka disebabkan hal itu, penerbangan terpaksa juga ditangguhkan demi keselamatan.
Setiap kali sebelum pesawat dibenarkan untuk berlepas, para jurutera dan juruteknik pesawat akan membuat pemeriksaan terlebih dahulu. Ketika pemeriksaan ini, masalah teknikal pada pesawat seperti kerosakan enjin, kegagalan sistem navigasi atau isu mekanikal lain mungkin dapat dikesan.
Oleh itu, pembaikan segera akan dilakukan tetapi kadangkala ia mengambil masa lebih lama akan menyebabkan kelewatan.
Prosedur keselamatan yang ketat terutama jika ada ancaman atau insiden keselamatan yang mungkin akan berlaku di dalam pesawat atau di lapangan terbang boleh menjadi faktor yang menjejaskan jadual penerbangan.
Pemeriksaan yang lebih teliti dan menyeluruh perlu dilakukan untuk memastikan tiada perkara yang mendatangkan bahaya terhadap keselamatan penumpang dan kru penerbangan serta persekitaran kawasan berkenaan.
Isu pengurusan
Isu pengurusan seperti kekurangan kakitangan atau pekerja mogok di syarikat penerbangan turut menyumbang kepada kelewatan atau pembatalan penerbangan. Selain itu, pengurusan lapangan terbang yang tidak efisen boleh menyebabkan kelewatan berpanjangan seperti penjadualan penerbangan yang tidak optimum, kegagalan sistem penghantaran bagasi atau penyelenggaraan tidak berjadual yang terpaksa dilakukan.
Kesesakan lalu lintas udara juga boleh menjadi punca kelewatan. Kawalan trafik udara yang padat mengakibatkan pesawat terpaksa menunggu giliran untuk berlepas atau mendarat dan keadaan ini akan menambah lagi masa kelewatan.
Baru-baru ini satu insiden yang agak menggemparkan berlaku apabila kemas kini perisian Crowdstrike menganggu jutaan peranti windows di seluruh dunia. Insiden ini menyebabkan banyak sistem mengalami “Blue Screen of Death” (BSOD).
Oleh kerana itu, pendaftaran masuk penumpang terpaksa dilakukan dengan kaedah manual yang mengakibatkan kesesakan dan ketidakselesaan di lapangan terbang. Walaupun masalah ini bukan disebabkan oleh syarikat penerbangan sendiri, ia tetap menyebabkan kelewatan penerbangan. Kadangkala kelewatan berlaku kerana proses pengisian minyak mengambil masa yang lama atau terdapat kerosakan pada kenderaan yang menunda pesawat.
Malah, penumpang yang tidak mematuhi arahan yang ditetapkan di pintu masuk juga boleh menyebabkan penerbangan tertangguh. Menurut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), pada 2023, purata kadar kelewatan penerbangan di Malaysia adalah sekitar 25 peratus. Daripada jumlah tersebut, 15 peratus adalah disebabkan oleh masalah teknikal, manakala 10 peratus lagi berpunca daripada faktor cuaca buruk.
Selain itu, penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan kadar kelewatan yang lebih tinggi berbanding lapangan terbang lain di negara ini, dengan hampir 30 peratus penerbangan mengalami kelewatan lebih daripada 30 minit. Tidak ada penumpang yang suka akan kelewatan ini jika ia berlaku. Namun apabila dapat memahami faktor-faktor yang melibatkan isu keselamatan, penumpang mungkin dapat menerima dengan keadaan yang lebih terbuka dan sabar kerana ia dapat mengelakkan bencana buruk.
Akan tetapi sekiranya ia melibatkan isu pengurusan, pihak yang terlibat wajib bertanggungjawab dengan memberi maklumat tepat dan menyantuni penumpang dalam keadaan yang mesra. Janganlah bersikap acuh tak acuh dengan pertanyaan daripada penumpang. Syarikat penerbangan perlulah mempermudahkan urusan penumpang yang terjejas disebabkan kelewatan ini dengan menyediakan makanan yang sewajarnya.
Sekiranya kelewatan ini mengambil masa terlalu lama, syarikat penerbangan perlu menampung penginapan sementara atau menawarkan pengembalian wang jika tidak dapat menyediakan penerbangan alternatif yang sesuai. Para penumpang boleh membuat aduan kepada MAVCOM melaluilaman sesawang www.flysmart.com jika syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang tidak menyelesaikan aduan dalam tempoh 30 hari. Hal ini kerana penumpang pengangkutan udara dilindungi oleh Kod Perlindungan PenggunaPenerbangan Malaysia (Pindaan) 2019.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.