KUCHING: Kerajaan akan meneliti tindakan berkaitan iklan jualan semula tiket Coldplay pada harga terlalu tinggi di media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini berkata, satu perjumpaan akan diadakan bersama pihak penganjur konsert Coldplay berhubung perkara ini.
“Kita nak tahu apa sebenarnya yang terjadi dan kita nak menyelesaikan perkara ini supaya (konsert) pada masa akan datang tidak berlaku lagi hal seperti ini.
“Insha Allah, Isnin nanti, selepas bermesyuarat bersama pihak penganjur semuanya akan jelas. Ya, ini berkaitan dengan isu ulat tiket.
“Kita faham ada yang membeli dalam kuantiti yang banyak dan menjual semula. Isnin nanti kita akan adakan perjumpaan,” katanya ketika ditanya media mengenai isu sclaper konsert Coldplay dalam sesi lawatannya bersama media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Tambah Fahmi, beliau turut akan membincangkan perkara itu dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat kumpulan terdiri daripada individu tidak bertanggungjawab atau juga dikenali sebagai ulat tiket mengambil kesempatan menjual semula tiket konsert siri jelajah Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan dengan harga mencecah RM43,200.
Terdahulu peminat Coldplay meluahkan rasa kecewa apabila menghadapi kesukaran membeli tiket secara atas talian.
Oleh Azreen Keria