Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Fahami sejarah untuk pandu masa depan
  • KOLUMNIS

Fahami sejarah untuk pandu masa depan

Utusan Sarawak 11 hours ago

WACANA yang cuba diketengahkan kali ini adalah mengenai pemahaman kita tentang sejarah dan kaitannya dengan masa depan khususnya di Sarawak. 

Biasanya orang kebanyakan tidak melihat sejarah ini satu bidang yang berguna. Malah, ia dilihat satu bidang yang senang dan hanya umpama cerita sahaja. 

Ada juga yang mengatakan sejarah tiada prospek masa depan. Ini kerana dunia hari ini memerlukan sesuatu yang berbentuk nampak kebergunaannya dan bersifat utilitarian yang mana sesuatu itu praktikal. 

Hal ini menyebabkan orang ramai memandang sejarah sebagai satu cerita lama sahaja, dan telah lapok ditelan zaman.

Hal ini menjadi satu cabaran besar bagi seseorang sejarawan kerana masyarakat, malah golongan berpendidikan sekalipun kadangkala memandang sejarah sebagai sesuatu yang tidak diperlukan.

Namun peliknya juga, mengapalah sambutan ulang tahun sering diadakan sedangkan ia mengenang kisah lama berkaitan dengan sejarah.

Ternama

Dikotomi ini juga berterusan apabila universiti-universiti terkenal di negara maju masih mengekalkan sejarah sebagai satu bidang utama.

 Ada yang menjadikan ia sebagai jabatan dan juga institusi. Jika ditinjau 10 universiti terbaik di dunia, menurut QS World Ranking University, kesemuanya mempunyai bidang pengajian sejarah walaupun dijalankan dalam pelbagai bentuk berbeza.

MALAYSIA gagal kes tuntutan Batu Puteh kerana Singapura terlebih ke hadapan dalam menggunakan ilmu sejarah untuk menuntut pulau tersebut.

Begitu juga ‘top 10’ universiti dalam ranking THES. Malah sejarah menjadi salah satu mata pelajaran atau kursus tertua di dunia. 

Di negara kita kursus sejarah ditawarkan oleh tiga universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia. Universiti-universiti ini adalah universiti tertua dan ‘top 10’ di Malaysia.

Apa yang menariknya juga graduan-graduan sejarah di universiti-universiti ini telah menjadi orang ternama antaranya menteri, hartanah, ahli peniagaan, banker, koperasi dan menteri besar. Di sini menunjukkan betapa besarnya peranan sejarah ini membentuk modal insan yang berjaya.

Kegunaan

Bukan itu sahaja, sejarah telah menunjukkan bagaimana kita dapat mempertahankan kedaulatan negara kita. 

Salah satu contohnya isu Pulau Ligitan dan Sipadan apabila sejarah membantu negara kita mempertahankan hak Malaysia. Tetapi kita gagal untuk kes tuntutan Batu Puteh kerana Singapura terlebih ke hadapan dalam menggunakan ilmu sejarah untuk menuntut pulau tersebut. 

Hal ini menunjukkan bagaimana sejarah itu bukannya sesuatu yang mudah dan hanya memahami begitu sahaja tentang sesuatu perkara tetapi sejarah dibentuk dengan kesahihan bahan digunakan.

Seseorang sejarawan pula tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan tentang sejarah tanpa bukti kukuh. 

Bagi Leopard Van Ranke – Bapa Sejarah Moden – menyatakan bahasa sejarah adalah ‘sebagaimana keadaannya yang sebenar’ melalui kritikan sumber yang teliti dan analisis objektif.

Kenyataan ini menunjukkan sejarah tidak semudah apa yang dikatakan oleh orang biasa kerana ia memerlukan penelitian bersungguh-sungguh dan mendalam. 

Malahan sumber diperoleh itu juga tidak boleh sewenang-wenangnya membawa kesimpulan sejarah. Dengan kata lain penemuan sesuatu bahan seumpama surat atau dokumen tidak membawa kesimpulan lengkap. 

PENGAMATAN dan kajian terhadap dokumen di Arkib Nasional di Kew Gardens harus menjadi perkara pokok kita fahami tentang tuntutan MA63.

Ia boleh lagi ditambah baik dengan fakta-fakta lain agar kajian itu tidak bersifat separuh masak.

Oleh itu, kaedah sejarah itu perlu difahami dengan sempurna dan berdasarkan fakta-fakta sejarah berwibawa. Oleh itu sejarah akan dapat memandu kita mengenali dan memahami realiti hari ini.

Memahami 

Dalam bidang perubatan misalnya, sejarah akan diambilkira. Ini kerana seseorang doktor perlu rekod sejarah untuk mengetahui penyakit yang dihidapi dan masalah kesihatan seseorang itu.

Selepas itu barulah rawatan dan ubat akan menyusul untuk menyembuh pesakit tersebut.

Hari ini pemahaman kita tentang sesuatu peristiwa dan kejadian itu memerlukan pemahaman tentang sejarah. 

Krisis di Gaza hari ini misalnya bertitik tolak daripada perjuangan rakyat Palestin sekian lama menentang kerajaan Israel yang menguasai wilayah mereka.

Begitu juga dengan hubungan tegang antara Korea Selatan dan Korea Utara disebabkan isu masa lampau yang belum selesai. Keadaan sama juga berlaku dalam hubungan China-Taiwan yang masih lagi tidak selesai sehingga ke hari ini.

Ini kerana apa dilakukan sebelum ini telah menjadi konflik yang tidak berkesudahan.

Namun tidak semua sejarah itu menjurus kepada konflik. Tetapi ia juga menjurus kepada perpaduan dan perdamaian. Jerman Barat dan Jerman Timur yang mempunyai perbezaan ideologi kembali bersatu kerana sejarah bangsanya yang sama pada 1990.

Sejarah juga mempertemukan kita dengan pelbagai ciptaan dan teknologi kemajuan di dunia. Kegiatan pencetakan yang berkembang di China pada akhir abad ke-2 misalnya membawa kepada revolusi penulisan media massa di Eropah yang tersebar sejak abad ke-13 lagi. 

Tempatan

Begitu juga dalam bidang kesihatan manusia. Kedatangan orang Barat ke Asia membawa kemajuan bidang perubatan moden. Pencegahan cacar air di Sarawak pada abad ke-19 misalnya membawa kepada penggunaan vaksinasi kepada penduduk tempatan yang dilanda wabak penyakit tersebut. 

Dari keadah ini, maka kawalan ke atas penyakit ini mula dapat dilakukan dengan lebih baik.

Keadaan sama juga kepada kita hari ini apabila berlakunya tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Dalam hal ini kita akan memandang ke belakang apa sebenarnya tuntutan Sarawak. Isu minyak juga perlu dilihat daripada aspek sejarahnya, kerana Sarawak mempunyai undang-undang sendiri dalam soal minyak ini. 

Dengan ada ilmu sejarah ini kita akan tidak alpha tentang hak kita.

Ini kerana kita memegang dokumen yang sah dan berwibawa. Hal ini membantu kita di Sarawak untuk mendapat haknya selepas tamatnya penjajahan British. 

Pengamatan dan kajian terhadap dokumen di Arkib Nasional di Kew Gardens harus menjadi perkara pokok kita fahami tentang tuntutan MA63.

Selain itu Sarawak juga perlu bersiap sedia dengan perkembangan dunia semasa yang cukup pantas berubah. 

Kehadiran kapal Pengawal Pantai China di perairan Sarawak misalnya salah satu tuntutan China ke atas Kepulauan Spratly. 

China menggunakan sejarah lampaunya dengan mengaitkan ‘sembilan garis putus-putus’ (nine-dash line) untuk tuntutan tersebut.

Sarawak, dan lebih-lebih lagi kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah siap siaga bukan setakat pertahanan fizikal tetapi fakta sejarah untuk mengesahkan wilayah perairan di Bintulu itu adalah hak negara kita. 

Kita harus belajar apa yang berlaku dalam konflik sempadan Thailand dan Kemboja hari ini yang dilihat sebagai tuntutan sejarah lama iaitu Keo Sikhakirisvara Pagoda. 

Di sini menunjukkan bagaimana sejarah itu menjadi satu rujukan penting kepada kedualatan negara.

Pada masa sama, Sarawak juga perlu melihat potensi pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan. Bagaimanakah Sarawak mendapat faedah daripada perkara ini? 

Hal ini berbalik dengan kisah lampau Sarawak dan Kalimantan yang sedia terjalin. Dari situ, kita akan memahami pola-pola masa lepas yang membentuk satu sejarah tersendiri di antara kedua-dua wilayah.

Dengan kata lain sejarah mempunyai kepentingannya sendiri kepada sesebuah negara. 

Sejarah juga bukannya sesuatu yang dicipta dengan beberapa cebisan sumber, tetapi satu penelitian mendalam yang memakan masa untuk dibuktikan. Sejurus kepada hal ini sejarah boleh memandu kita melangkah ke masa depan.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal EhwalAntarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Tangani rasa gemuruh, takut naik pesawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.