Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Fahami sejarah penjajahan negara kita – beza 31 Ogos dan 16 September
  • KOLUMNIS

Fahami sejarah penjajahan negara kita – beza 31 Ogos dan 16 September

Utusan Sarawak 7 hours ago

TIDAK lama lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan yang jatuhnya setiap tahun pada 31 Ogos. 

Tarikh 31 Ogos ini sering menjadi polemik di negara kita kerana sesetengah pemimpin serta dan rakyat Sarawak dan Sabah menganggap tarikh itu sebagai kemerdekaan bagi Tanah Melayu.

Bagi mereka tarikh 16 September harus diraikan oleh penduduk di Malaysia kerana ia adalah tarikh pembentukan Malaysia.

Bukan itu sahaja, sesetengah sarjana di Malaysia mula menimbulkan persoalan bahawa negara kita tidak pernah dijajah. Isu jajah dan tidak dijajah ini berterusan walaupun telah cuba dijelaskan dan diterangkan oleh ahli sejarah.

Penjajahan

Dalam memahami isu ini, wajar kita memahami apa itu maksud penjajahan. Penjajahan yang sering kita kaitkan ini adalah penjajahan kuasa Barat di Asia dan Afrika. 

Secara umumnya penjajahan bermaksud penguasaan sesebuah negara ke atas negara lain.

India salah satu contoh dimana penjajahan dilakukan secara langsung oleh British. Indonesia satu lagi contoh jelas dimana Belanda menguasai negara kepulauan tersebut secara langsung. 

PENGUMUMAN: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengadakan sidang akhbar di kediaman rasmi beliau pada 6 Julai, 1963 bagi mengumumkan keberangkatan ke London untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian penubuhan Malaysia. – Sumber Arkib Negara.

Begitu juga Sepanyol yang menguasai Filipina sehingga diganti dengan Amerika Syarikat pada 1898.

Dua sejarawan British iaitu John Gallagher dan Ronald Robinson cuba memberi satu pemahaman lebih mendalam tentang imperialisme apabila menerbitkan artikel ‘The Imperialism of Free Trade’ (1953).

Kedua-dua mereka menolak fahaman lama sepert daripada J. A. Hobson dan Lenin yang hanya menyatakan penjajahan ini secara langsung dimana sebuah negara menguasai negara lain secara total.

Gallagher dan Robinson menyatakan bahawa dalam sejarah, British tidak perlu menjajah sesebuah negara secara langsung tetapi cukuplah hanya menguasai dan mengawal sesebuah negara dengan kawalan ekonomi, sosial dan politik tanpa menguasainya secara langsung.

Tidak Langsung

Hal ini jelas berlaku ke atas beberapa negara yang pada hakikatnya tidak nampak dijajah tetapi dalamannya dikuasai oleh kuasa penjajah.

Thailand misalnya terpaksa akur dengan banyak permintaan kuasa Barat apabila terpaksa mengakui perjanjian yang mengikat mereka dengan kuasa penjajah.

Hal ini boleh kita lihat dengan beberapa siri perjanjian antara Siam ketika itu dengan British yang bermula dengan Perjanjian Bowring pada 1855.

Atas sebab itulah apabila pada abad ke-19 Jepun melakukan reformasi untuk menghapuskan segala tekanan kuasa Barat ke atasnya sejak Perjanjian Kanagawa pada 1854. 

Perjanjian tersebut mengikat Jepun untuk patuh kepada segala syarat-syarat yang diminta oleh kuasa Amerika Syarikat. Sebelum itu China mengalami perkara sama apabila dipaksa menandatangai dan mematuhi syarat-syarat Perjanjian Nanking pada 1842. 

Permulaan

Bagi negara kita pula, penjajahan kuasa Barat bermula pada tahun 1511 apabila Portugis menawan Melaka. Namun demikian ketika itu kuasa Portugis tidak dapat menguasai keseluruhan Tanah Melayu dan hanya mampu mentadbir Melaka. 

Selepas itu Belanda menguasai Melaka pada tahun 1641. Belanda juga tidak menguasai secara keseluruhan Tanah Melayu.

Hanya British mula mencorakkan negara kita apabila secara beransur-ansur menguasai Tanah Melayu bermula dengan Pulau Pinang pada tahun 1786. 

STADIUM Merdeka di tengah-tengah Kuala Lumpur, di mana kemerdekaan Malaya diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman dengan laungan tujuh kali ‘merdeka’ pada 1957.

Selepas itu diikuti dengan Singapura dan Melaka pada awal abad ke-19. Ketiga-tiga koloni ini menjadi tanah jajahan secara langsung oleh British.

Di Sarawak pula James Brooke menguasai wilayah tersebut dari kerajaan Brunei pada September 1841. James Brooke secara beransur-ansur mengembangkan wilayah Sarawak dari Sungai Sarawak hingga ke Sungai Lawas. 

Perjanjian Pangkor pada 1874 memulakan campur tangan British di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Keempat-empat negeri ini disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

British meletakkan residennya di setiap negeri-negeri ini.  Negeri-negeri ini juga menjadi negeri naungan British.

Pengaruh

Penjajahan di Sabah pula bermula dengan pelantikan Charles Lee Moses sebagai konsul Amerika Syarikat. Beliau telah mendapat konsesi besar di utara Borneo iaitu Sabah hari ini dari kerajaan Brunei. 

Namun beliau tidakmengembangkan penjajahan Amerika Syarikat di konsesinya. 

Sebaliknya wilayah itu bertukar tangan sehingga terbentuknya Syarikat Borneo Utara British pada 1881. Tertubuhnya syarikat termasuk penubuhan Dinasti Brooke di Sarawak membawa kepada penguasaan tidak langsung British di Borneo. 

Hal ini bertepatan dengan kata-kata Gallagher dan Robinson sebelum ini sebagai informal empire. Pada 1888, Sarawak dan Sabah (termasuk Brunei) menjadi negeri naungan British. 

Naungan ini memberi kuasa pertahanan dan hubungan luar kepada British.

Perjanjian Bangkok pada 1909 melengkapkan lagi penjajahan British apabila Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan menjadi wilayah dikuasai oleh British di Tanah Melayu. 

British meletakkan penasihat British di setiap negeri ini. Johor pula menerima penasihat British pada 1914. Dengan itu lengkaplah penguasaan British ke atas di Tanah Melayu. Penguasaannya walaupun tidak total menjajah tetapi British menjajah juga secara tidak langsung.

Pendudukan

Kekuatan British di tanah jajahannya di Asia Tenggara tidak kekal lama. Pada 8 Disember 1941 Jepun telah menyerang dan menawan Kota Bharu. 

Sarawak dan Sabah juga tidak terkecuali diserang Jepun. Menjelang awal 1942, keseluruhan negeri dalam negara kita jatuh ke tangan Jepun.

Pendudukan Jepun selama tiga tahun setengah itu meninggalkan kesan mendalam kepada penduduk tempatan. Jepun tidak sahaja membawa kekejaman tetapi memecahbelahkan masyarakat apabila timbulnya ketegangan kaum selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Penyusunan

Kedatangan semula British membawa kepada usaha menjadikan Tanah Melayu sebagai koloni. Malayan Union telah ditubuhkan pada 1946 untuk menghilangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. 

Akibat bantahan daripada orang Melayu, maka Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. 

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini menyatukan semua negeri-negeri Melayu kecuali Singapura. Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu ini juga memulangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Malangnya penentangan orang Melayu dan Dayak di Sarawak ke atas penyerahan Sarawak kepada British tidak berjaya. British telah menukar taraf Sarawak daripada sebuah wilayah naungan kepada koloni. Sabah juga akur dengan perubahan taraf ini.

Penguasaan British ke atas Persekutuan Tanah Melayu berakhir pada 1957 apabila persekutuan itu diberi kemerdekaan. Sarawak dan Sabah pula menikmati kemerdekaannya apabila menyertai pembentukan Malaysia pada 1963.

Dalam hal ini menunjukkan bahawa penjajahan kuasa Barat ke atas tanah air kita melalui episod panjang. Ia juga dibentuk dengan pelbagai rupa sama ada dijajah secara langsung seperti koloni atau secara tidak langsung menerusi naungan serta melantik residen atau penasihat British. 

Namun berkat jiwa merdeka, maka kita berjaya membebaskan diri daripada penjajahan ini.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Harapan AirBorneo masuki penarafan Skytrax

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.