
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga pengamal media Sarawak James Joshua Guang, 58, yang meninggal dunia semalam.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Fadillah berkata pemergian mendiang bukan sahaja dirasai oleh ahli keluarga, malah seluruh komuniti pengamal media di Sarawak.
“Segala jasa dan sumbangan beliau akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada legasi yang bermakna dalam dunia kewartawanan dan komunikasi.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan semoga diberikan kekuatan, ketabahan serta ketenangan dalam menghadapi saat yang sukar ini,” katanya.
James meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Anglican Siburan, Kuching pada Selasa.- Bernama