SANTUNI… Dato’ Sri Fadillah Yusof telah menyantuni ketiga-tiga beradik semalam.
KUCHING: Tiga beradik yatim piatu dari Sarawak telah dihantar pulang ke Kuching semalam.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, tiga beradik berkenaan, Elisa Olivia Damian, 10; Joseph Rayyan Damian, 8; dan Magdalena Damian, 2; akan dibawa oleh abang mendiang Ronwina, Robert Adi, 43, dan isterinya Kelly Jhon, 36.
Ketiga-tiga beradik terbabit dibawa pulang oleh Robert Adi dan isterinya Kelly Jhon yang telah diterbangkan segera ke Kuala Lumpur selepas kejadian, kata Fadillah dalam kenyataan rasmi Facebooknya semalam.
Tambah Fadillah yang juga Penaung Sarawak Volunteers, segala urusan penerbangan pulang tiga beradik berkenaan, waris terlibat, penginapan transit serta urusan pengkebumian kedua-dua mangsa telah dibiayai sepenuhnya oleh Sarawak Volunteers dengan bantuan Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.
Jelasnya, urusan membantu keluarga berkenaan telah digerakkan segera sejak hari kejadian.
“Pegawai Rumah Sarawak dan Sarawak Volunteers telah bergegas ke Cameron Highlands sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu Khamis lalu, bagi menghulurkan bantuan perlu.
“Terima kasih kepada Rumah Sarawak di Kuala Lumpur diketuai Pengarahnya, Awang Supian Awang Daud yang telah membantu mempermudahkan segala urusan membantu keluarga berkenaan.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga pasangan mendiang Damian dan mendiang Ronwina,” katanya.
Terdahulu, tiga beradik itu menjadi yatim piatu apabila ibu dan bapa mereka meninggal dunia akibat terkena renjatan arus elektrik dalam kejadian yang berlaku dalam bilik air di rumah kediaman mereka Khamis lalu.
Oleh SYAMIMI HUSNA