KUCHING: Ramai pengundi mahu balik untuk mengundi, tetapi kos untuk pulang masih tinggi dan keupayaan untuk membantu juga terhad, kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagiu kerusi Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof.
Itu antara cabaran dihadapi dalam usaha memastikan pengundi turun mengundi turun mengundi pada 19 November ini termasuk di kawasan Parlimen Petra Jaya.
“Ramai pengundi kita mahu balik mengundi, tetapi kos untuk pulang masih tinggi dan keupayaan kita untuk membantu juga terhad. Susulan itu, kita sentiasa mencari cara untuk membantu mereka pulang mengundi.
“Mungkin kita akan cari penaja untuk memberi subsidi kepada individu yang ingin pulang untuk mengundi,” katanya selepas merasmikan program Petra Jaya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Tour bersama Angkasawan Negara Mejar Dr Faiz Khaleed, di Dewan Serbaguna Kampung Demak, di sini, hari ini.
Fadillah juga berkata, promosi berterusan menerusi platform dalam talian serta lawatan rumah ke rumah perlu dilakukan untuk memastikan masyarakat turun pada hari mengundi nanti.
“Malah ini merupakan langkah yang diambil bagi memastikan peratusan turun mengundi pada hari tersebut meningkat.
“Kita buat promosi melalui media sosial, ziarah ke setiap pintu di sesebuah kawasan dan sebagainya untuk menggalakkan orang ramai turun mengundi.
“Inilah usaha kita memastikan orang ramai peka dan turun menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Oleh AZREEN KERIA