
Pemain Crystal Palace, Eberechi Eze meraikan kemenangan bersama trofi kejuaraan selepas menundukkan Manchester City 1-0 pada final Piala FA di Stadium Wembley, London.
LONDON: Wira Crystal Palace, Eberechi Eze kehilangan kata-kata selepas menjaringkan gol kemenangan ketika The Eagles mengalahkan Manchester City 1-0 untuk menjuarai Piala FA, awal pagi tadi.
Jaringan pemain antarabangsa England itu pada minit ke-16 membantu Palace merangkul trofi utama sulung mereka dalam sejarah 119 tahun kelab itu.
“Ia istimewa. Saya tak tahu nak kata apa lagi,” kata Eze.
“Kami berdepan kelab yang menjadi pasukan terbaik di dunia dalam tempoh yang lama. Untuk mempamerkan semangat sebegitu, tenaga sebegitu,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Palace bernasib baik apabila penjaga gol Dean Henderson terselamat daripada menerima kad merah lebih awal kerana memegang bola di luar kotak penaltinya.
Henderson turut menyelamatkan sepakan penalti Omar Marmoush pada babak pertama tetapi City gagal menggunakan dominasi mereka.
“Saya hanya tidak mampu bernafas. Mereka menguasai bola terlalu bagus,” kata Eze mengenai permulaan pantas City.
“Kami juga sedar apabila kami memasuki kotak penalti mereka, kami perlu menggunakan kesempatan itu dan syukurlah kami melakukannya hari ini kerana ia tidak mudah.”
Kemenangan itu bermakna Palace turut akan beraksi dalam pertandingan Eropah buat kali pertama musim depan apabila mereka layak ke Liga Europa. – AFP