Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Eze, Gyokeres ranapkan Spurs, hidupkan semula misi kejuaraan Arsenal
  • SUKAN

Eze, Gyokeres ranapkan Spurs, hidupkan semula misi kejuaraan Arsenal

Utusan Sarawak 8 hours ago

Eberechi Eze meraikan gol ketika Arsenal membelasah Tottenham dalam derbi utara London. Foto AFP

LONDON:  Arsenal menghidupkan kembali cabaran kejuaraan apabila membelasah seteru setempat Tottenham Hotspur 4-1 dalam aksi derbi utara London awal pagi ini.

Tonggak tengah, Eberechi Eze sekali lagi menjadi mimpi ngeri Spurs apabila meledak dua gol, manakala Viktor Gyokeres turut menyumbang dua jaringan untuk memastikan skuad kendalian Mikel Arteta kembali ke landasan kemenangan.

Kemenangan itu menamatkan kemarau dua perlawanan tanpa menang Arsenal dan meletakkan mereka lima mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.

Eze yang sebelum ini menolak peluang menyertai Spurs, terus mempamerkan aksi terbaiknya bersama Arsenal ketika menentang bekas peminatnya itu. 

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini meledak hatrik dalam kemenangan 4-1 ke atas Tottenham pada November lalu dan sekali lagi membalas kepercayaan Arteta dengan gol pertamanya selepas 18 perlawanan tanpa jaringan.

Arsenal mendahului pada separuh masa pertama di Stadium Tottenham Hotspur menerusi Eze sebelum Randal Kolo Muani menyamakan kedudukan tidak lama kemudian.

Gyokeres meletakkan Arsenal kembali di depan sejurus babak kedua bersambung, Eze menambah gol ketiga dan Gyokeres melengkapkan kemenangan bergaya pada masa kecederaan.

Selepas musim pertama yang sukar sejak berhijrah dari Sporting CP, dua gol Gyokeres nyata menjadi detik kelegaan buat penyerang Sweden itu, sama seperti kebangkitan Eze yang hadir tepat pada waktunya ketika misi kejuaraan Arsenal hampir tergelincir.

Sebelum ini, Arsenal mensia-siakan kelebihan selesa dalam perebutan gelaran pertama sejak 2004 apabila seri dengan Brentford dan Wolverhampton Wanderers. 

Kemenangan 2-1 City ke atas  Newcastle United pagi tadi, merapatkan jurang kepada dua mata.

Arteta menggesa pemainnya supaya mampu menghadapi “bunyi dan peluru” dalam tekanan perebutan gelaran, malah menyarankan mereka meninggalkan kelab jika tidak tahan dengan cabaran tersebut.

Walaupun Arsenal bangkit menyahut cabaran itu, City masih memegang nasib kejuaraan. 

Jika pasukan kendalian Pep Guardiola memenangi baki 11 perlawanan, mereka tetap akan menjulang trofi tanpa mengira keputusan Arsenal.

Arsenal kini lapan perlawanan tanpa kalah dalam derbi utara London, manakala Spurs pula hanya empat mata di atas zon penyingkiran selepas sembilan aksi liga tanpa kemenangan dalam perlawanan pertama pengendali interim Igor Tudor menggantikan Thomas Frank. 

Spurs yang hanya mencatat dua kemenangan dalam 18 aksi liga terakhir berdepan risiko kembali ke divisyen bawahan buat kali pertama sejak musim 1977-78.

Arsenal membuka tirai jaringan pada minit ke-32 apabila kesilapan Pape Sare dihukum. 

Bukayo Saka melorongkan bola kepada Eze yang melakukan satu sentuhan sebelum merembat voli cantik dari jarak 10 ela.

Namun, dua minit kemudian, kesilapan Declan Rice membolehkan Kolo Muani melepasi William Saliba sebelum meledak menewaskan David Raya.

Arsenal kembali mendahului pada minit ke-47 apabila hantaran Jurrien Timber disempurnakan Gyokeres yang memanfaatkan kelalaian pertahanan Spurs untuk meledak rembatan kencang menewaskan Guglielmo Vicario.

Gol ketiga hadir pada minit ke-61 selepas cubaan Saka dihalang Micky van de Ven namun kegagalan Joao Palhinha mengeluarkan bola memberi ruang kepada Eze untuk menjaringkan gol kedua peribadinya.

Gyokeres menutup tirai jaringan apabila menewaskan Archie Gray pada masa kecederaan ketika penyokong Spurs mula meninggalkan stadium. – AFP

Continue Reading

Previous: Liga Super: JDT kekal rekod tanpa kalah, Selangor FC bekerja keras sebelum tewaskan Kuching City FC 
Next: ‘Tiada apa yang bagus’, kata Mac Allister walaupun Liverpool menang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.