
BUTTERWORTH: Di sebalik populariti dan kontroversi yang pernah mewarnai dunia hiburan, kumpulan legenda Exists mengakui wartawan dan editor media suatu ketika dahulu banyak membantu “menyelamatkan” artis daripada terjerumus dalam pelbagai polemik, yang boleh menjejaskan kerjaya serta kehidupan peribadi mereka.
Bagi anggota Exists, budaya semakan fakta dan pertimbangan editorial yang diamalkan media arus perdana ketika era kegemilangan media cetak, menjadi benteng penting dalam memastikan sesuatu isu ditangani secara berhemah sebelum disiarkan kepada umum.
Pemain gitar utama Exists Along berkata peranan editor ketika itu sangat besar, kerana mereka bukan sekadar menerbitkan berita, sebaliknya memastikan setiap aduan atau dakwaan yang diterima disemak terlebih dahulu.
“Zaman dahulu, wartawan dan editor banyak menyelamatkan artis. Jika ada peminat mahu mengadu atau berkongsi sesuatu cerita, mereka akan menulis surat kepada editor.
“Kalau editor nampak perkara itu sensitif, mereka akan tapis dan semak dahulu sebelum disiarkan. Wartawan juga akan hubungi artis terbabit untuk mendapatkan penjelasan,” katanya kepada Bernama selepas Konsert Riuh Pi HAWANA di tapak parkir Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, malam tadi.
Menurut Along, pendekatan itu membantu mengelakkan salah faham, selain melindungi kehidupan peribadi artis daripada menjadi bahan bualan yang tidak berasas.
Beliau berkata landskap media hari ini jauh berbeza, apabila sesiapa sahaja boleh merakam gambar atau video secara sembunyi, sebelum memuat naiknya ke media sosial tanpa memikirkan kesan terhadap individu terbabit.
“Hari ini semuanya berlaku sangat pantas. Ada yang terus muat naik tanpa mendapatkan pengesahan. Akhirnya ruang komen dipenuhi pelbagai pandangan dan kecaman.
“Kalau artis membaca komen yang terlalu tajam, ia boleh memberi kesan kepada emosi mereka. Sebab itu artis hari ini perlu lebih kuat, berhati-hati dan jangan mencari masalah,” katanya.
Sementara itu, vokalis Exists Mamat berkata hubungan erat yang terjalin antara mereka dan wartawan sejak awal kemunculan kumpulan itu, menjadi antara faktor Exists terus bertahan dalam industri sehingga hari ini.
Beliau berkata wartawan bukan sahaja melaporkan perkembangan kerjaya mereka, malah sentiasa memberi sokongan ketika kumpulan itu berdepan pelbagai cabaran.
“Bagi saya, mungkin saya antara artis yang paling banyak dikejar wartawan di Malaysia. Namun, walau macam mana jatuh bangun Exists, khususnya saya sendiri dalam industri ini, mereka tetap memberi ruang dan peluang kepada kami untuk terus bergerak ke hadapan.
“Kadang-kadang dalam berita yang ditulis itu ada juga nasihat dan kata-kata semangat yang membuatkan kami terus kuat,” katanya.
Mengimbau kenangan sepanjang lebih tiga dekad bergelar anak seni, pemain bass Exists Musa, berkongsikan kisah lucu yang menunjukkan betapa rapatnya hubungan antara artis dan wartawan pada suatu ketika dahulu.
Beliau berkata sekitar 1997, seorang wartawan hiburan sanggup menyewa studio rakaman semata-mata mahu merasai pengalaman menyanyi sambil diiringi anggota Exists.
“Dia memang selalu ikut kami dan tengok kami bermain muzik. Satu hari dia sewa studio dan ajak saya bersama Ujang pergi jamming.
“Kami layan sahaja permintaannya. Hampir dua jam juga kami bermain muzik bersama,” katanya.
Bagi Musa, pengalaman itu membuktikan hubungan antara artis dan wartawan ketika itu tidak terhad kepada tugasan profesional semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi persahabatan yang dibina atas minat serta rasa saling menghormati.
Dalam masa sama, beliau percaya kehadiran wartawan profesional masih diperlukan dalam industri hiburan, kerana mereka mempunyai kemahiran serta tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat secara lebih tepat dan beretika.
“Wartawan sebenar sudah terlatih. Mereka tahu menjaga bahasa, memahami sensitiviti dan menapis perkara yang tidak sepatutnya disiarkan.
“Malah, mereka juga boleh menjadi contoh kepada penulis lain supaya menghasilkan kandungan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Exists kini sedang giat melakukan persiapan akhir menjelang Konsert Memento Mori yang bakal berlangsung di Unifi Arena pada 1 Ogos depan.- Bernama