
KUALA LUMPUR: Meniti usia 34 tahun dalam industri hiburan tanah air, kumpulan Exist membuktikan kekuatan muzik mereka merentasi zaman dan kekal relevan hingga kini menerusi konsert Exist Premium Live.
Berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya pada Sabtu malam, kemantapan persembahan mereka memaku peminat setia di sepanjang konsert berdurasi hampir tiga jam itu.
Jika Julai lepas Exist muncul sepentas bersama-sama Slam menerusi Slam X Exist, penampilan secara solo ini menyaksikan mereka membuat persembahan dalam suasana intim dan santai yang mendekatkan lagi mereka dengan peminat.

Ezad Lazim selaku vokalis, membuka pentas persembahan dengan lagu Mama Tolonglah Percaya sebelum menyapa penonton dan meluahkan rasa terharu di atas sokongan peminat yang tidak pernah putus di sepanjang lebih tiga dekad perjalanan seni mereka.
“Terima kasih sentiasa menyokong kami, setiap kali kami buat konsert anda memang bikin gamat satu dewan, anda memang ‘true fans’,’’ kata Ezad.
Selain Ezad, Exist yang turut diterajui Along selaku pemain gitar, Musa (bes), Ujang (dram) dan Ajai (keyboard), memukau penonton dengan kehebatan menguasai instrumen masing-masing, menghidupkan 21 buah lagu yang disenandungkan dalam konsert tersebut.
Mereka membelai memori peminat dengan untaian lagu malar segar sejak Exist wujud pada 1991, antaranya Janji Padamu, Langkah Seiringan, Rahsia Pohon Cemara, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu serta Alasanmu versi 2025.
Sekalipun kurang sihat, peminat nyata tidak kecewa dengan keupayaan vokal Ezad yang sering dipuji sebagai suara “telan kaset”.
“Ezad kurang sihat pada malam ini, namun demi peminat…dia (Ezad) tetap teruskan konsert. Kalau tidak, mungkin konsert akan ditangguhkan,” kata Ajai, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh penonton.

Selain menghangatkan pentas menerusi persembahan bertenaga, Exist turut berinteraksi secara langsung dengan peminat sambil berkongsi kisah di sebalik proses rakaman serta sejarah lagu-lagu hit mereka.
Tidak hanya dihiburkan menerusi nyanyian, peminat juga terpukau dengan visual pentas moden dan permainan cahaya dramatik yang menyempurnakan lagi setiap persembahan kumpulan kesayangan mereka itu.
Mengotakan janji mereka untuk memberi hadiah buat peminat yang hadir, sebelum melabuhkan tirai konsert, Exist menghadiahkan sebuah gitar akustik milik Along serta sebuah set dram buat dua peminat yang dipilih menerusi cabutan bertuah.
–Bernama