Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Evolusi keahlian ‘Council Negri’
  • KOLUMNIS

Evolusi keahlian ‘Council Negri’

Utusan Sarawak 8 hours ago

ISNIN lepas, sidang khas Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) meluluskan usul pertambahan 17 kerusi baharu DUN Sarawak daripada 82 kerusi kepada 99 kerusi. 

Walaupun perdebatan agak hangat dalam pertambahan kerusi ini tetapi usul ini berjaya diluluskan. Ini menjadi salah satu peristiwa sejarah yang berakar umbi daripada evolusi awal penubuhan Council Negri.

Council Negeri telah wujud sejak abad ke-19 lagi. Nama asal Council Negri adalah Sarawak General Council. Di sinilah bermulanya DUN Sarawak yang hanya mempunyai beberapa ahli sahaja.

Bintulu

Sidang pertama Council Negri ini diadakan pada 1867 di Bintulu. Ketika itu saiz Sarawak telah menjangkaui dari Tanjung Datu sehingga ke Tanjung Kidurong. Keluasan baharu Sarawak ini membawa kepada pembaharuan dari segi khidmat masyarakat.

TUGU Council Negri di pusat bandar lama Bintulu. Sidang pertama diadakan pada 1867 di Bintulu.

Satu-satu cara yang dilakukan oleh Charles Brooke ketika itu untuk mendapat pandangan rakyat Sarawak adalah mewujudkan sebuah dewan. Dewan ini menghimpun pelbagai pemimpin Sarawak di semua bahagian negeri.

Pada peringkat awal. Council Negri hanya mempunyai 21 ahli. Namun demikian keahliannya tidak menyeluruh. Perancangan awal Charles Brooke dalam hal ini adalah untuk mendengar pandangan daripada penduduk di kawasan persisir pantai barat daya Sarawak. 

Secara khususnya ahli-ahli Council Negri awal ini datang daripada pemimpin tempatan dari Kuching, Lundu, Lingga, Simanggang, Saribas, Kalaka, Sibu, Mukah, Oya, Matu dan Bintulu.

Daripada jumlah 21 itu, seramai lima pegawai Brooke termasuk Charles Brooke sendiri menghadiri mesyuarat pertama di Bintulu. Selebihnya adalah pemimpin tempatan dari daerah-daerah yang disebutkan tadi.

Salah satu ciri awal dewan ini adalah ahli-ahlinya dilantik bukannya dipilih seperti hari ini. Peranan dan fungsi dewan ini juga bukan satu badan perundangan tetapi hanya pertemuan dengan wakil-wakil penduduk Sarawak sahaja dalam tempoh tiga tahun sekali. Adakalanya setahun dan dua tahun sekali.

Pertambahan

Pada sidang kedua di Sibu pada 1868, keahlian Council Negri menambah tujuh lagi ahlinya terdiri daripada wakil-wakil di bahagian Rajang. 

Sementara itu keahliannya bertambah mengikut tahun kerana saiz Sarawak mula membesar sehingga ke sempadan Borneo Utara (Sabah). 

Sumber dari media cetak ketika itu menyatakan bahawa pada 1912, jumlah keahlian Council Negri sekitar 40 orang dengan wakil-wakil pegawai Barat dan pemimpin tempatan.

Jumlah keahlian Council Negri ini meningkat lagi kepada 43 orang pada 1915. Maklumat daripada jumlah ini menunjukkan bahawa semua kawasan diwakili dari bahagian Pertama hingga Bahagian Kelima. 

Daripada jumlah itu, wakil di Bahagian Pertama paling ramai iaitu 19 orang. Kedua terbanyak datang dari Bahagian Ketiga dengan 10 orang. Bahagian Kedua dan Kelima pula diwakili oleh enam orang masing-masing.

Dalam hal ini Bahagian Keempat paling sedikit diwakili iaitu dua orang walaupun bahagian ini mempunyai saiz yang besar. Mengikut pewakilan, orang Barat dan tempatan, pembahagiannya adalah 14 orang pegawai Barat dan 29 orang pula dalam kalangan orang tempatan.

Pelbagai

Perubahan keahlian dalam Council Negri berterusan sehingga membawa kepada pelantikan dalam kalangan pemimpin masyarakat Cina.

KOMPLEKS Dewan Undangan Negeri sekarang.

Perkara ini berlaku pada 1937 apabila Ong Tiang Swee dan Wee Kheng Chiang dijemput menghadiri mesyuarat dewan tersebut.

Keahlian dalam Council Negri sekali lagi berubah apabila kerajaan Sarawak memperkenalkan perlembagaan baharu pada 1941. Perlembagaan itu mengariskan tentang fungsi dan keahlian Council Negri. 

Dalam pengisytiharaan perlembagaan baharu ini menyatakan bahawa keahlian dalam Council Negeri hanyalah 25 orang. Daripada 25 orang ini, seramai 14 orang dari perkhidmatan awam Sarawak.

Daripada keseluruhan 14 keahlian yang mewakili perkhidmatan awam, sembilan merupakan pelantikan secara ex-officio. Ini bererti mana-mana individu yang memegang jawatan sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan layak menjadi ahli secara ex-officio.

Jawatan-jawatan ex-officio ini terdiri daripada Ketua Setiausaha, Bendahari Kerajaan, Residen Bahagian Pertama, Residen Bahagian Kedua, Residen Bahagian Ketiga, Residen Bahagian Keempat, Residen Bahagian Kelima, Setiausaha Hal Ehwal Bumiputera dan Setiausaha Hal Ehwal Orang Cina.

Baki daripada 14 ahli ini iaitu lima orang dilantik oleh Raja Sarawak. Mereka yang dilantik itu hendaklah memegang jawatan perkhidmatan awam sepanjang tempoh Council Negeri. 

Tidak rasmi

Ahli-ahli tidak rasmi dalam Council Negri juga akan dilantik oleh Raja Sarawak. Mereka ini akan menjadi ahli selama tempoh tiga tahun. 

Mereka ini juga akan dilantik semula apabila tamatnya tempoh perkhidmatan mereka. Ahli-ahli tidak rasmi ini juga boleh ditamatkan perkhidmatannya jika gagal memberi sebab-sebab yang munasabah untuk tidak hadir dalam sidang Council Negeri untuk dua kali berturut-turut. 

Dalam hal ini juga ahli-ahli tidak rasmi boleh untuk bila-bila masa meletak jawatan sebagai ahli Council Negeri atas kehendak sendiri.

Perlembagaan ini memaklumkan juga bahawa Raja Sarawak mempunyai kuasa dalam melantik ahli-ahli sementara jika ahli tidak rasmi tidak dapat hadir dalam sidang tersebut kerana sakit atau di luar kawasan. 

Ahli-ahli sementara yang dilantik ini juga mempunyai keistimewaan seperti ahli-ahli lain dalam Council Negri.

Bagi ahli perkhidmatan awam dalam kalangan kaum Bumiputera, mereka tidak dilarang untuk menjadi ahli tidak rasmi. Malah Council Negri ini perlu penyertaan kaum Bumiputera untuk memelihara hak-hak mereka di Sarawak.

Pengenalan kepada perlembagaan baharu ini membawa kepada satu perubahan yang baik dalam membaiki fungsi dan peraturan keahlian. 

Malangnya, harapan ini tinggal harapan apabila Jepun menyerang Sarawak pada akhir Disember 1941. Council Negri hanya kembali berfungsi selepas tamatnya Perang Dunia Kedua. 

Begitulah satu episod ringkas bagaimana keahlian Council Negri ditentukan mengikut masa. 

Oleh itu pertambahan kerusi dan penyusunan keahlian dalam DUN Sarawak merupakan sesuatu yang biasa berlaku dan telah diamalkan sejak sebelum pembentukan Malaysia lagi. 

Untuk keluaran akan datang wacana ini cuba menyingkap lagi tentang perkembangan keahlian Council Negri sehingga pembentukan Malaysia.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakult iSains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Sebab berat badan, bagasi amat perlu dititikberatkan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.