
KUALA LUMPUR: Eversendai Corporation Bhd meraih tiga projek di Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, dan Singapura dengan nilai keseluruhan RM1.3 bilion, meningkatkan jumlah nilai perolehan kontrak yang belum diselesaikan kumpulan kepada RM6.6 bilion.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pakar keluli struktur itu berkata anak syarikatnya, Eversendai Offshore di UAE telah memperoleh projek daripada Dragados Offshore SAU dari Sepanyol untuk menghasilkan keluli struktur bagi blok penukar tenaga luar pesisir (bahagian atas) untuk projek penyambungan grid luar pesisir LanWin2, BalWin3 dan LanWin4 di Jerman.
Ia berkata sistem sambungan grid luar pesisir LanWin2, BalWin3 dan LanWin4 merupakan sebahagian daripada program dua gigawatt (GW) TenneT, bertujuan untuk menggandakan kapasiti penghantaran tenaga sedia ada bagi sistem sambungan grid luar pesisir.
“Program ini bertujuan untuk membantu Jerman, Belanda dan Eropah mencapai sasaran iklim yang tinggi serta membangunkan Laut Utara sebagai ‘loji jana kuasa hijau’ Eropah,” katanya.
Eversendai berkata blok-blok itu akan dilaksanakan di kemudahan fabrikasi canggih Eversendai Offshore di Ras Al Khaimah, UAE – dengan kemudahan fabrikasi di tepi laut yang dibina di tapak seluas 200,000 meter persegi dengan panjang tepi dermaga 550 meter – direka khas untuk pembinaan yang besar, berat, dan modular.
“Eversendai komited untuk melaksanakan projek ini dan penghantaran akan dilakukan secara berperingkat menjelang Disember 2027.
“Eversendai meneroka tenaga boleh baharu angin luar pesisir Eropah pada 2019 dengan berjaya melaksanakan projek jaket angin luar pesisir untuk Hollandse Kust Zuid Alpha (2019-2020) dan Hollandse Kust Zuid Beta (2020-2021) bagi 700 megawatt (MW) stesen penukar tenaga angin luar pesisir untuk TenneT, Belanda,” katanya.
Sementara itu, kumpulan berkenaan telah memperoleh projek Pemodenan Fasa II Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai di India, yang memberi tumpuan kepada peluasan kapasiti lapangan terbang.
“Penyambungan terminal dua akan menambah kira-kira 1.2 juta kaki persegi ruang kepada bangunan terminal.
“Kerja-kerja keluli struktur adalah penting dalam menyokong bumbung terminal yang diperluas, fasad dan struktur rentang yang luas dengan menggabungkan penyelesaian reka bentuk termaju untuk kedua-dua fungsi dan daya tarikan estetik,” katanya.
Selain itu, di Singapura, Eversendai memperoleh projek untuk membina Pusat Sains Baharu, sebuah kemudahan canggih yang dikhususkan untuk merangsang rasa ingin tahu dan memajukan penerokaan saintifik.
Ia berkata bangunan komposit itu terdiri daripada kekuda, tiang dan rasuk dari Tingkat Dua hingga ke Bumbung.
“Skop untuk semua projek ini merangkumi kejuruteraan, reka bentuk sambungan, lakaran kedai, pembekalan bahan keluli, fabrikasi, penghantaran dan pemasangan kerja-kerja keluli struktur,” katanya. — Bernama