OSLO: Buat kali pertama dalam sejarah, bilangan kenderaan elektrik (EV) mengatasi angka kenderaan petrol di Norway.
Perkara itu dimaklumkan Persekutuan Jalan Raya Norway (OFV) apabila 753,905 daripada keseluruhan 2.8 juta kereta persendirian didaftar di negara Scandinavia itu terdiri EV, manakala selebihnya membabitkan kenderaan yang menggunakan petrol.
Meskipun model yang menggunakan diesel paling banyak dengan rekod hampir satu juta unit, namun trend jualannya merosot dengan cepat.
Pengarah OFV, Oyvind Solberg Thorsen, ketika mengulas perkara itu mengakui pencapaian berkenaan sebagai detik bersejarah.
“Ia adalah sejarah, kerana tak ramai yang menjangkakan ia akan berlaku 10 tahun lalu,” katanya.
Tambah beliau lagi, penggunaan EV untuk pengangkutan penumpang meningkat dengan pantas.
“Atas sebab itu, Norway kini bergerak pantas menuju negara pertama di dunia didominasi EV untuk pengangkutan penumpang,” katanya.
Secara paradoksnya, Norway adalah pengeluar utama minyak dan gas (O&G) menetapkan sasaran untuk menjual hanya kenderaan tanpa emisi, yang kebanyakannya adalah EV berikutan peratusan penggunaan kereta hidrogen sangat kecil menjelang 2025.
Sasaran itu 10 tahun lebih awal berbanding ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).
Ogos lalu, EV menyumbang 94.3 peratus pendaftaran kereta baharu di Norway, didorong jualan Tesla Model Y.
Dalam usaha mentransformasikan pengangkutan jalan raya kepada penggunaan elektrik demi mematuhi komitmen iklim Norway, pihak berkuasa negara itu menawarkan rebat cukai untuk EV.
Langkah itu bagi menjadikannya berdaya saing berbanding kereta yang menggunakan bahan api, diesel termasuk hibrid sekali pun.
Kejayaan EV di Norway berbeza dengan cabaran di negara Eropah lain yang menyaksikan penjualan EV mulai menurun akhir tahun lalu.
Kini, EV hanya menyumbang 12.5 peratus daripada kereta baharu yang dijual di rantau terbabit. – AFP