Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Eurocampus KL, era baharu kerjasama pendidikan Eropah
  • PENDIDIKAN

Eurocampus KL, era baharu kerjasama pendidikan Eropah

Utusan Sarawak 2 days ago
DUTA Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau (dua, kiri) dan Duta Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer (dua, kanan) dalam gambar berkumpulan selepas merasmikan plak tanda kerjasama simbolik antara kedutaan Perancis dan Jerman pada perasmian besar Eurocampus di Kuala Lumpur di Lycee Francais de Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah Agensi Pendidikan Perancis Luar Negara, Claudia Scherer-Effosse (kiri) dan Pengarah Agensi Pusat Sekolah Luar Negara, Heike Toledo (kanan). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sekolah antarabangsa Perancis dan Jerman di Kuala Lumpur hari ini melancarkan Eurocampus KL secara bersama, menandakan langkah penting dalam kerjasama pendidikan Eropah dan mengeratkan hubungan pendidikan dengan Malaysia.

Terletak di Mont Kiara, Eurocampus KL, yang merupakan satu daripada hanya enam kampus seumpama itu di seluruh dunia, menghimpunkan Lycee Francais de Kuala Lumpur (LFKL) dan Deutsche Schule Kuala Lumpur (DSKL), yang beroperasi bersebelahan di kawasan sama sambil mengekalkan kurikulum dan identiti masing-masing.

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau dalam ucapan perasmian berkata penubuhan Eurocampus mencerminkan kekuatan perkongsian Perancis-Jerman dan kepentingannya kepada Malaysia.

Beliau berkata kampus itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap pendidikan antarabangsa berkualiti serta mencerminkan aspirasi bersama untuk melahirkan bakat di seluruh ASEAN.

“Kampus ini adalah hasil komitmen kolektif luar biasa daripada kedua-dua lembaga sekolah, pasukan kepimpinan, guru, ibu bapa dan kedutaan.

“Eurocampus merupakan contoh nyata apa yang boleh dicapai melalui kepercayaan dan visi bersama. Ia memberi khidmat kepada masyarakat kita, menyumbang kepada pembinaan Eropah, dan memberi nilai tambah di Malaysia,” katanya.

Beliau menyifatkan Eurocampus sebagai permulaan kepada visi pendidikan baharu antara Perancis, Jerman dan Malaysia.

Cruau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas sokongan yang diberikan, khususnya Bahagian Pendidikan Swasta, Bahagian Strategi dan Hubungan Antarabangsa, serta Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL).

Seiring pandangan itu, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer menyifatkan pelancaran tersebut sebagai ‘permulaan yang amat bermakna,’ sambil memaklumkan bahawa proses merealisasikan projek itu mengambil masa empat tahun perbincangan, idea dan usaha bersama.

“Anak-anak Jerman dan Perancis kini boleh bersekolah bersama di sini. Lebih daripada sekadar pembelajaran, mereka saling mengenali – dan di sinilah pemahaman terbina,” katanya.

“Kami berharap kerjasama dengan Malaysia ini akan terus diperkukuh. Kami juga menantikan hari yang murid-murid Malaysia turut dapat menyertai Eurocampus dan memeriahkan lagi komuniti pelbagai budaya ini,” tambahnya.

Sekolah Perancis ketika ini menempatkan lebih 700 pelajar, manakala sekolah Jerman berpindah ke kampus bersama itu dengan tambahan 179 pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran, kedua-dua duta memberi bayangan akan berlaku integrasi lebih erat antara sekolah dan tidak menolak kemungkinan kampus itu pada masa depan akan menerapkan model latihan vokasional berinspirasikan sistem TVET gabungan teori dan praktikal seperti yang diamalkan di Jerman, yang menggabungkan pembelajaran di bilik darjah dan latihan praktikal di tempat kerja.

“Buat masa ini, Eurocampus menawarkan kurikulum menyeluruh merangkumi sains, seni dan muzik. Namun latihan vokasional boleh menjadi projek masa depan,” kata mereka.– Bernama

Continue Reading

Previous: Lawatan sambil belajar 60 pelajar SMK Julau No. 2 ke FSPH
Next: Baucar buku MADANI pupuk minat membaca kalangan pelajar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.