Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Etnografi politik di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • KOLUMNIS

Etnografi politik di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag

Utusan Sarawak 6 hours ago

PADA suatu pagi yang berkabus di tebing Sungai Kinabatangan, sebuah bot kecil berlabuh perlahan di jeti kayu Kampung Sukau. Suasana tenang tapi indah. Di situ, politik tidak dibicarakan melalui manifesto tebalatau pidato besar.

Ia hadir dalam bentuk perbualan ringkas tentang harga minyak bot, jalan tanah merah yang rosak selepas hujan, dan bantuan banjir yang ‘sampai lambat sikit tahun lepas’.

Inilah wajah sebenar politik di Parlimen Kinabatangan dan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag – politik yang hidup dalam rutin harian, bukan di pentas retorik.

Nama Kinabatangan sendiri sarat dengan sejarah lintas tamadun. Berasal daripada istilah Orang Sungai, Cinabatangan – bermaksud ‘sungai Cina’ – ia merakam kisah pengembara kerabat Maharaja China, Ong Sung Peng, yang tiba di kuala sungai ini pada abad ke-16 dan membuka penempatan seperti Mumiang, Sukau dan Bilit.

Sejarah ini bukan sekadar memori masa lalu, ia membentuk kesedaran komuniti bahawa Kinabatangan sejak awal ialah ruang pertemuan budaya, jaringan dan mobiliti – dan politiknya juga berkembang dalam logika yang sama, iaitu hubungan, kehadiran dan kebolehan mengurus kehidupan.

Politik keperluan harian teras tingkah laku pengundi

Dalam pemerhatian etnografi, corak tingkah laku pengundi di Kinabatangan dan DUN Lamag paling jelas berpaksi pada politik keperluan harian.

Soal jalan kampung, air bersih, elektrik, tambang bot sekolah, klinik kesihatan, bantuan bencana dan kos sara hidup bukan isu sampingan, sebaliknya ia adalah inti politik.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan anak Allahyarham Datuk Seri Bung
Moktar Radin berdepan persaingan tiga penjuru. Moha Naim Kurniawan (kiri) yang mewakili Barisan Nasional (BN) berdepan saingan daripada calon Parti WARISAN Datuk Saddi Abdul Raman yang juga bekas Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau serta calon bebas, Goldam Hamid (tengah). Foto BERNAMA

Pengundi di sini jarang berbicara tentang ideologi besar. Sebaliknya, mereka bertanya: siapa boleh dihubungi? Siapa boleh urus? Siapa boleh tolong apabila anak sakit atau kebun tenggelam banjir?

Dalam konteks ini, hubungan kekeluargaan dan jaringan patron-klien menjadi mekanisme sosial yang sah – bukan dilihat sebagai rasuah politik, tetapi sebagai logika kelangsungan komuniti pedalaman.

Identiti etnik dan agama – melibatkan Orang Sungai (Buludupi/Ida’an, Dumpas, Mangkaak, Makiang, Minokok, Rumanau, Sebangan/Abai, Sukang, Sugud), Tidung, Suluk, Bajau, Idahan, Bugis, Kedayan dan Melayu- berfungsi sebagai faktor penghubung.

Namun keputusan akhir pengundian lazimnya kembali kepada satu ukuran mudah, iaitu siapa paling bertanggungjawab dan sering menyantuni. Undi di Kinabatangan–Lamag bersifat pilihan rasional bukan dogmatik.

Budaya, adat dan struktur komuniti sebagai bingkai politik

Politik di Kinabatangan juga tidak terpisah daripada adat dan struktur komuniti. Budaya menghormati orang tua dan kepimpinan kampung menjadikan restu ketua kampung, imam, pengerusi JKKK atau tokoh adat sebagai isyarat penting.

Politik dibaca melalui bahasa budi, jasa dan janji yang ditepati. Maklumat politik tidak mengalir melalui ceramah besar semata-mata. Ia bergerak melalui jawatankuasa kampung, persatuan belia, jaringan surau dan gereja, kumpulan wanita, koperasi, serta perbualan santai di kedai runcit, jeti, kebun dan balai raya.

PEKAN Kota Kinabatangan, pusat pentadbiran daerah seluas 2,142 kilometer persegi dan terletak kira-kira 75 kilometer dari Sandakan, bakal menjadi tumpuan berikutan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari ini. Foto BERNAMA

Keputusan mengundi sering terbentuk dalam musyawarah kecil – perlahan, senyap, tetapi berakar kukuh dalam komuniti.

Dalam kerangka ini, pengundian bukan sekadar hak individu, tetapi tindakan sosial. Pengundi cenderung mengelak konflik terbuka dan memilih pilihan yang menjaga keharmonian komuniti.

Politik konfrontasi keras sering dianggap ‘tidak manis’ dalam budaya setempat.

Tiga naratif akar umbi

Di lapangan, tiga naratif utama berulang. Pertama, kepercayaan bersyarat dengan kata-kata seperti ‘kami percaya kalau dia selalu turun dan boleh dihubungi,’ kata seorang penduduk Bukit Garam terletak di sebelah barat laut Daerah Kinabatangan.

Kepercayaan ini bukan buta; ia bergantung pada rekod kehadiran dan keupayaan menyelesaikan masalah.

Kedua, kekecewaan berulang. Janji musim pilihan raya sering menjadi memori kolektif – jalan dijanjikan, air dibincang, bantuan diumumkan, tetapi selepas menang, wakil ‘senyap’.

Bantuan yang tidak seimbang – orang dekat dapat, orang jauh tercicir – menjadi luka kecil yang terkumpul.

Ketiga, harapan pragmatik. Pengundi tidak menuntut

keajaiban. Mereka mahukan perubahan kecil tetapi konsisten.

Wakil rakyat ideal ialah mereka yang berfungsi sebagai penghubung birokrasi – memudahkan urusan geran, dokumen, sekolah, kebajikan dan pampasan bencana. Di sinilah pengundi menilai politik melalui politik khidmat, bukan slogan.

Tokoh tempatan mengatasi tokoh nasional

Dalam konteks PRK, pengaruh tokoh tempatan hampir selalu mengatasi tokoh nasional. Ketua kampung dan pemimpin komuniti bertindak sebagai kepala jaringan – menentukan siapa boleh masuk ke ruang sosial kampung dan siapa ditolak secara halus.

Mereka juga sering menjadi ‘penjaga pintu pagar’ bantuan dan akses maklumat.

Tokoh nasional dilihat datang dan pergi; tokoh kampung tinggal dan menanggung reputasi. Namun, isu nasional boleh melonjakkan pengaruh pusat jika ia bersilang langsung dengan kehidupan harian – harga barang, subsidi, keselamatan atau pekerjaan – atau menyentuh keselamatan wilayah dan keadilan pembangunan Sabah.

PRK sebagai ‘musim padat’ dan ujian keikhlasan

Pengundi mentafsir PRK sebagai musim padat dan kompleks. Lawatan bertambah, bantuan segera muncul, program turun padang menjadi rutin.

CALON Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayolb (kiri) dan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek, bergambar selepas proses penamaan calon baru-baru ini.

Namun pengundi bukan naif. Mereka memerhati: adakah ini komitmen sebenar atau sekadar pertunjukan sementara?

Janji jangka pendek diterima sebagai rezeki, tetapi tidak semestinya mengikat undi. Ukuran sebenar ialah cara janji diucap dan ditepati – siapa datang sendiri, siapa hantar wakil, siapa hilang selepas itu.

Bagi banyak komuniti, PRK adalah ujian moral ‘kalau masa PRK pun tak dijaga, selepas menang apatah lagi,’ luah seorang anak tempatan Lamag.

Geografi, infrastruktur dan ekonomi

Kinabatangan ialah daerah sungai dan jarak. Jalan tanah, banjir bermusim, kos tambang bot dan van sekolah mempengaruhi kadar keluar mengundi, khususnya warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.

Jumlah kehadiran mengundi di sini bukan semata-mata soal minat politik, tetapi keupayaan fizikal dan ekonomi untuk hadir.

Ekonomi setempat – ladang, kebun kecil, perikanan, kerja tidak formal – menjadikan masa sebagai aset berharga. Separuh hari mengundi mungkin bermakna hilang pendapatan.

Maka, pengundi menghargai pihak yang sekurang-kurangnya memudahkan proses, mengurus logistik secara beretika, dan memahami realiti hidup mereka.

Generasi muda dan tua: Berbeza tetapi berunding

Pengundi tua cenderung memilih kestabilan, tokoh dikenali dan politik hubungan. Mereka menilai rekod turun padang dan budi yang berterusan.

Pengundi muda pula lebih terbuka kepada isu integriti, peluang kerja, pendidikan/TVET, internet dan kos sara hidup, serta dipengaruhi media sosial.

Namun perbezaan ini tidak mutlak. Ramai anak muda kritis di ruang digital tetapi akomodatif dalam keputusan keluarga. Mereka berunding dengan norma rumah dan komuniti – menunjukkan demokrasi di Kinabatangan ialah proses sosial, bukan keputusan individu terasing.

Implikasi lebih besar: Membaca arah politik Sabah

Dapatan etnografi di Kinabatangan dan Lamag membawa implikasi jelas. Strategi mikro – kehadiran konsisten, penyelesaian masalah, pusat khidmat yang berfungsi – lebih berkesan daripada retorik makro.

Pengundi mencari calon sebagai institusi bergerak, jambatan antara kampung dan birokrasi.

Mengurus jaringan tokoh tempatan perlu beretika; terlalu kepaksaan boleh mencetuskan penolakan, terutama dalam kalangan muda.

Pembangunan pula kekal sebagai bahasa politik utama – bukan sekadar fizikal, tetapi soal maruah wilayah, keadilan peruntukan dan akses perkhidmatan asas.

Di tebing Sungai Kinabatangan, di sebalik tarian Titikas, Karantikung dan Mangalai Abai yang dipersembahkan semasa Pesta Damas, politik bergerak perlahan tetapi pasti.

Sentimen akar umbi semakin jelas, ‘kami mahu wakil yang

hadir, telus dan menyelesaikan masalah – bukan memberikan alasan untuk menghulur bantuan sewajarnya, kata anak petani di Mukim Sukau.

Merumus landskap etnografi Kinabatangan

Dalam landskap sebegini, politik yang memahami denyut kehidupan seharian – politik khidmat yang berakar, konsisten dan senyap bekerja – mempunyai peluang untuk menang, bukan kerana slogan, tetapi kerana kepercayaan yang dibina dari jeti ke jeti, kampung ke kampung untuk saling menyantuni sesama mereka.

Demikian sekelumit pemerhatian di Parlimen Kinabatangan daripada perspektif landskap etnografi politik.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Banjir di Kuching dan sekitarnya, 1963

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.