DALAM Perlembagaan Persekutuan (Bahagian IV) terdapat peruntukan Perkara 63 mengenai Keistimewaan Parlimen. Terdapat tiga perkara keistimewaan iaitu kesahan apa-apa prosiding di dalam mana-mana satu majlis parlimen atau dalam mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah.
Yang kedua, tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu majlis parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.
Ketiga, tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang disiarkan oleh atau di bawah kuasa mana-mana satu majlis parlimen.
Namun terdapat peruntukan yang memberikan pengecualian yang terdapat dalam Fasal (2), iaitu tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No.45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282/70].
Begitu juga dinyatakan pengecualian jika terdapat menganjurkan penghapusan kedudukan berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan berperlembagaan Raja sesuatu negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan. Perkara ini adalah tidak dibenarkan.
Implikasi Perkara 63
Berdasarkan Perkara 63 ini, dapat dirumuskan bahawa Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan keistimewaan kepada Ahli Parlimen. Tujuan peruntukan tersebut adalah untuk memastikan terdapat kelancaran persidangan Dewan Rakyat, termasuk kenyataan, hujah mereka di Dewan Rakyat daripada mana-mana prosiding undang-undang dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.
Namun ini bukanlah satu ‘lesen’ untuk bertingkah laku melampaui batas, mengeluarkan kata-kata provokasi, kurang sopan, bertindak biadap yang sukar diterima dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat yang dianggap Dewan bagi percambahan pemikiran yang rasional, matang dan bijaksana.
Justeru, mana-mana Ahli Parlimen yang bertindak sedemikian, perlu dikenakan tindakan tegas termasuk diberikan amaran serta boleh dihalau keluar dari Dewan Rakyat. Malah yang melampau boleh digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat. Maka ini akan dapat memberikan kesedaran, keinsafan, dan menilai semula tindak-tanduk yang tidak sesuai dengan adab dan etika di Dewan Rakyat.
Punca Kekecohan
Antara perkara yang sering berlaku di Dewan Rakyat dan menimbulkan kekecohan ialah apabila terdapat Ahli Parlimen yang mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan, biadap, seksis dan sering menggunakan sentimen bagi meraih sokongan, memanipulasikan situasi agar berpihak kepada pihaknya.
Apabila ini berlaku maka ketidaktenteraman berlaku, boleh menyebabkan pertengkaran mulut ketika sedang berbahas dan ini perlu bagi Speaker Dewan membuat keputusan segera, mendamaikan suasana dan bertindak tegas kepada sang pelaku tersebut.
Peranan Speaker
Baru-baru ini, apabila Speaker Dewan mengarahkan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin keluar dari Dewan Rakyat ketika persidangan dianggap sebagai keputusan yang tepat dan ini dijadikan sebagai hukuman kerana perbuatannya dilihat cuba menimbulkan kekecohan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbahas.
Ahli Parlimen tersebut juga ingkar terhadap perintah Speaker yang meminta beliau duduk. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berteruskan agar tidak terus berlaku dalam mana-mana persidangan parlimen pada masa akan datang.
Tindakan bertalu-talu menjerit-jerit secara emosi tidak menggambarkan tahap profesionalisme sebagai Ahli Parlimen yang perlu patuh kepada etika di Dewan Rakyat. Perlakuan tersebut seolah-olah parlimen kehilangan fungsi, tertib, adab dan etika, sedangkan Ahli Parlimen perlu menunjukkan profesionalisme paling tinggi dan tatasusila ketika berbahas.
Di sinilah peranan Speaker Dewan Rakyat berani membuat keputusan, dan cepat bertindak tegas sebelum suasana semakin buruk, sedangkan perbahasan di parlimen diadakan secara langsung dan sering ditonton oleh rakyat seluruh negara. Perkara ini boleh memberikan teladan yang kurang baik, memperlihatkan perlanggaran peraturan persidangan. Maka pengajaran perlu diberikan agar Ahli Parlimen lain tidak terikut-ikut dengan contoh yang tidak baik itu.
Adab Dan Emosi
Hanya kerana emosi, tidak mahu mendengar penjelasan Perdana Menteri, sanggup menjerit-jerit tanpa hala tuju hingga menyebabkan kelancaran sidang dewan terganggu dan hampir 30 minit masa dihabiskan dengan sia-sia. Ini bukanlah rekod yang baik untuk perbahasan sidang dewan.
Perdebatan harus berdasarkan fakta dan hujah yang bijaksana disertai dengan adab berdebat bukannya hanya dipengaruhi emosi dan suara yang tinggi dan bising. Ternyata perbezaan pendapat dan wacana tandingan tidak seharusnya menjadi seseorang itu terjerumus dalam berkelakuan buruk tutur kata, hilang kesopanan dan hilang nilai-nilai murni dan akhlak terpuji.
Sebagai Ahli Parlimen, mereka harus beringat dan sedar bahawa Dewan Rakyat adalah tempat untuk mereka berbahas dan bertukar pandangan, bukan bertindak melampaui batas. Sesungguhnya sebagai individu dipilih rakyat dan pemimpin yang diharapkan untuk menjadi kelompok terhormat dan disanjung tinggi kerana budi bahasa dan adab, mereka perlu sentiasa menjaga kesopanan serta sentiasa berhati-hati dengan tutur kata.
Apabila tindakan Ahli Parlimen yang ‘terjerit-jerit’ ketika sesi perbahasan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati, sudah tentu penonton memandang negatif perlakuan tersebut dan rasa hormat terhadap pemimpin politik atau Ahli Parlimen akan pudar. Sepatutnya ia boleh dilontarkan secara baik dan profesional serta ditangani dengan tertib dan adab tinggi.
Justeru, etika berbahas di Parlimen adalah aspek penting dalam menjalankan proses demokrasi yang berfungsi dengan baik. Ia mencerminkan keadaan kesopanan, hormat-menghormati dan sikap profesional yang harus ditunjukkan oleh Ahli Parlimen. Sikap hormat sesama Ahli Parlimen, kata-kata kasar atau serangan peribadi harus dielakkan. Selebihnya perlu fokus kepada isu yang dibincangkan dan tidak terjerat daripada politik sentimen atau tingkah mengganggu perjalanan sidang Dewan Rakyat.
- Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).