
Ethel Caterham. Foto Hallmark Care Homes
LONDON: Wanita Britain, Ethel Caterham, dinobatkan sebagai individu tertua dunia pada usia 115 tahun selepas penyandang gelaran itu, biarawati dari Brazil, Inah Canabarro Lucas meninggal dunia.
Menurut Kumpulan Penyelidikan Gerontologi (GRG) dan pangkalan data LongeviQuest, selepas kematian Canabarro, Caterham kini individu tertua yang masih hidup di dunia.
Berkongsi rahsia umurnya yang panjang, Caterham berkata, “jangan bergaduh dengan sesiapa”.
“Jangan bergaduh dengan sesiapa! Saya dengar dan buat apa yang saya suka.
“Mental kena positif dan hidup sederhana.
“Yang penting dalam hidup adalah keluarga, untuk tinggalkan kenangan kepada anak dan cucu,” katanya kepada Salisbury Journal sebelum ini.
Dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di sebuah perkampungan di Hampshire, Caterham kini menetap di sebuah rumah penjagaan di Surrey, England.
Caterham adalah anak kedua bongsu daripada lapan beradik dan mengharungi kehidupan panjang termasuk berjaya berdepan dengan Covid-19 pada usia 110 tahun.
Wanita tabah ini juga manusia terakhir yang masih hidup semasa pemerintahan Raja Edward VII, dan kini memegang rekod sebagai warga Britain tertua dalam sejarah.
Ketika menyambut ulang tahun ke-115 tahun lalu, beliau menerima surat penghargaan daripada Raja Charles III yang mengucapkan tahniah atas pencapaian luar biasa itu.
Dia pernah merantau ke India pada usia 18 tahun untuk bekerja sebagai pengasuh untuk keluarga tentera sebelum kembali ke Britain, dan berkahwin dengan suaminya, Norman Caterham, pada tahun 1933.
Mereka pernah menetap di Hong Kong dan Gibraltar sebelum kembali ke selatan England.
Caterham kehilangan suami dan dua anak perempuannya, namun kini masih dikelilingi tiga cucu dan lima cicit.
Sebelum ini, warga Britain, John Tinniswood memegang gelaran lelaki tertua di dunia selama lapan bulan pada 2024 sehingga kematiannya pada November berusia 112 tahun. – AFP