ESPLANADE Buntal mempunyai potensi untuk menarik kehadiran pelancong kerana mempunyai keunikan tersendiri.
Menurut Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, kita dapat melihat arca Buntal Bako Bay di sini dan ia mampu menjadi tarikan kepada orang ramai.
“Buntal Bako Bay merupakan tempat persinggahan burung antarabangsa dan penduduk kampung perlu merebut peluang disebalik kelebihan ini,” jelasnya ketika sidang Media sejurus Program Kayuhan Santai Pantai Damai 2021 diadakan semalam.
Program Kayuhan Santai Pantai Damai 2021 anjuran gabungan Jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kawasan Pantai Damai telah diadakan di Esplanade Kampung Buntal pada semalam.
Katanya, program tersebut merupakan aktiviti penutup kepada aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan KJM sepanjang tahun ini.
“Dengan adanya program seperti ini ianya dapat mengeratkan silaturrahim antara KJM selain dapat mengajak penduduk kampung bersama-sama untuk mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan,” ujarnya.
Ketika ditanya pemberita mengenai persiapan PRN-12, katanya, Dun Pantai Damai telah pun membuat persiapan awal, iaitu selesai sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
“Pada awal tahun 2019 juga kita telah pun memulakan gerak kerja memperkemaskan jawatankuasa di peringkat cawangan dan ranting bagi menghadapi PRN12 ini,” jelasnya.
Beliau menyeru masyarakat menunaikan tanggungjawab mengundi di 17 pusat mengundi bagi kawasan DUN Pantai Damai
Turut hadir, Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Rudzaimeir Malek dan Pemanca Kuching Utara Rashidi Junai.
Oleh AZREEN KERIA